Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, May 23, 2017

MAKHLUK HALUS ATAU SIKAP PENDUDUK


Makhluk halus atau sikap penduduk


Rantau Panjang yang terkenal sebagai sebuah destinasi syurga membeli belah di negeri ini, tidak terkecuali menyimpan cerita-cerita yang ada antaranya meremangkan bulu roma.

Beberapa siri kemalangan, kejadian lemas serta gangguan-gangguan tertentu yang berlaku di daerah ini, adakalanya menimbulkan persoalan, apakah ia disebabkan oleh faktor mistik atau gangguan makhlus halus, ataupun akibat kecuaian manusia, atau ada sebab lain.

Apabila sesuatu kejadian itu berlaku dan berulang di lokasi sama, tidak dapat tidak, ada masyarakat yang mengaitkannya dengan unsur-unsur tahyul. Adakah benar kemalangan berlaku kerana gangguan makhluk halus ataupun ia berpunca daripada sikap penduduk yang tidak mematuhi keselamatan diri sehingga meragut nyawa?

Mungkin juga cerita gangguan oleh nenek moyang terdahulu merupakan salah satu unsur hiburan yang direka-reka bagi menakutkan anak-anak agar tidak keluar sehingga lewat malam.

Ada juga kemungkinan budak-budak nakal menyamar sebagai hantu dan mengganggu pengguna jalan raya sehingga berlakunya kemalangan jalan raya di sini. Kisahnya dipaparkan dalam KELATE KITO minggu ini.


‘Hantu tarik nyawa’ di Sungai Golok

Dalam masa setahun, pasti ada kejadian mati lemas di Sungai Golok sama ada musim tengkujuh atau pun kemarau.

Mengikut dakwaan penduduk kejadian itu ada kaitan dengan mistik atau semangat ‘hantu’ menarik nyawa sehingga berlaku kejadian lemas di sini.

Namun ada juga yang percaya ia adalah takdir selain kelalaian penduduk sendiri kerana bermain di kawasan dalam walaupun tidak pandai berenang.

Penduduk, Saripah Ayub, 41, berkata, dia tidak percaya sungai yang dikongsi dua negara berjiran ini dihuni ‘penunggu’ atau makhluk halus.

Menurutnya, jika benar ada ‘hantu tarik nyawa’ atau ‘tarik kaki’ di sungai ini, dia yakin kejadian lemas akan berlaku setiap hari.

"Tapi kejadian tu tak berlaku walaupun budak-budak yang tinggal dekat sungai mandi setiap hari, malah mereka sering cari etak bila kemarau,” katanya.

Saripah berkata, tidak dinafikan makhluk halus itu wujud, namun sebagai seorang Muslim, kita wajib meyakini kekuasaan ALLAH dan bukannya kepada mana-mana makhluk lain.

Sementara itu, Mat Bastaman, 55, pula berkata, walaupun sebilangan penduduk tidak mempercayai makhluk halus menjadi punca kejadian lemas di Sungai Golok, namun ada penduduk dari negara jiran menjalankan upacara menolak bala.

Menurutnya, ada juga yang menjalankan upacara Loy Kratung bagi menolak pelbagai bentuk tragedi ke atas keluarga mereka.

“Walaupun kebiasaannya upacara Loy Kratung diadakan untuk tambah rezeki, namun ada juga selit unsur-unsur menolak bala terutama penduduk bukan beragama Islam yang guna sungai sebagai pengangkutan utama,” katanya.

Dalam pada itu, Mat berkata, dia juga tidak mempercayai unsur-unsur khurafat berhubung kejadian lemas di sini.

"Biasa kejadian lemas ni berlaku kepada penduduk luar kerana mereka tak tahu kawasan dalam dan cetek.

"Ada juga yang mandi di sini tak tahu berenang," katanya.

Tambahnya, sungai itu juga ada kawasan pasir jerlus yang menyebabkan penduduk mudah tenggelam dan lemas.


0 comments:

share2