Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, May 31, 2017

NASIB ANNUAR MUSA DITENTUKAN JUN INI







Putrajaya - Keputusan mesyuarat Mara berhubung isu penggantungan pengerusinya, Tan Sri Annuar Musa akan diserahkan kepada Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jun ini.

Menurut Ismail Sabri, tindakan selanjutnya hanya akan diambil setelah pihaknya menerima laporan tersebut secara rasmi dari Mara.

"Pada mesyuarat yang diadakan pada 18 Mei lalu, saya difahamkan bahawa jawatankuasa audit dalam Mara telah membentangkan dapatan berhubung isu itu.

"Saya belum menerima laporan itu secara rasmi kerana ketika mesyuarat diadakan, saya berada di luar negara," katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa anjuran KKLW, sebentar tadi.

Pada masa sama, beliau turut mengesahkan Annuar masih kekal memegang jawatan Pengerusi Mara walaupun diarahkan bercuti sementara.

"Status terkini beliau masih digantung daripada jawatan tersebut.

"Bagaimanapun beliau masih kekal memegang jawatan itu, cuma apabila diarahkan bercuti, buat masa ini beliau tidak menjalankan tugasnya," katanya.

Pada majlis sama, lebih 200 warga KKLW meraikan kehadiran 82 orang anak yatim dari Rumah Amal Al Firdaus, Shah Alam dan Rumah Raudhatul Al Faeez, Gombak.

Kesemua anak-anak yatim yang hadir turut menerima sumbangan duit raya dan keperluan harian.









0 comments:

share2