Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, May 31, 2017

[KUANTAN] BENGKEL RANAP DIHEMPAP MYVI




Seorang pemilik bengkel membaiki motosikal kerugian lebih RM5,000 apabila bengkelnya di Jalan Haji Ahmad, dekat sini, dirempuh kereta PERODUA Myvi. 

Dalam kejadian jam 7 pagi semalam, kereta itu dinaiki tiga lelaki dipercayai dari arah bandar Kuantan menghala ke kawasan perindustrian Semambu, di sini, sebelum hilang kawalan dan terbabas merempuh bengkel milik mangsa. 

Pemilik bengkel, Au Yong Junbin, 32, berkata dia dimaklumkan kejadian itu oleh pemilik premis berhampiran. 

"Ketika saya sampai, kereta (Myvi) kosong, ...tidak ada pemandu atau penumpang, saya rasa mereka lari selepas kejadian. 

"Kereta dalam keadaan terbalik dan ada kesan kerosakan pada beberapa bahagian kereta itu. 

"Saya rasa dia (pemandu) ini mabuk dan bawa laju sebelum terbabas ke bengkel milik saya ini," katanya ketika ditemui di sini, hari ini. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh, ketika dihubungi sebentar tadi mengesahkan menerima laporan daripada pemilik bengkel itu. 

"Kita akan siasat kes ini mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saya difahamkan kereta terbabit tiada cukai jalan. 

"Kami akan kesan pemilik asal kenderaan ini berdasarkan maklumat yang ada bagi melengkapkan siasatan," katanya.


0 comments:

share2