Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, May 25, 2017

DISANGKA MUSANG RUPA-RUPANYA HARIMAU BINTANG


Disangka musang rupa-rupanya harimau bintang


Tanah Merah - Seekor harimau bintang betina yang membaham anjing penduduk, ditangkap anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) daerah ini di Ladang Kerilla, dekat sini, petang semalam.

Pegawai Pertahanan Awam daerah, Staf Muda (PA), Mohd Fadli Hassan berkata, tiga anggotanya yang dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima laporan mengambil masa kira-kira tiga jam untuk menjinakkan haiwan liar itu.

Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kehadiran harimau itu daripada pengurusan ladang pada jam 11.18 pagi dan sampai di tempat kejadian pada jam 12 tengah hari.

"Apabila sampai di tempat kejadian, baharu anggota kami mengenal pasti haiwan ini seekor harimau bintang kerana berdasarkan maklumat awal, haiwan ini disangkakan musang.

"Ketika sampai, harimau betina ini bersembunyi di dalam saluran pembetung sepanjang kira-kira enam meter di sebuah kebun getah dalam ladang berkenaan," katanya, semalam.

Mohd Fadli berkata, anggotanya terpaksa memecahkan satu daripada empat saluran pembetung itu sebelum berjaya memerangkap dan menangkap harimau berkenaan.

"Bagaimanapun seekor anak harimau ini berjaya melepaskan diri daripada perangkap yang dipasang kerana pasukan operasi tidak sedar harimau ini ada anak," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat pengurusan ladang, haiwan seberat 50 kilogram itu dipercayai harimau sama yang berkeliaran di kawasan estet berkenaan sejak seminggu lalu.

"Harimau ini juga dipercayai menyerang seekor anjing penduduk di ladang itu dalam kejadian malam tadi," katanya.

Tambahnya, harimau itu akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.


0 comments:

share2