Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, May 25, 2017

[BERA] SASAR 80% TERNAKAN RUMINAN DIBERI SUNTIKAN FMD


Seramai 45 penternak di sekitar Felda Gugusan Tembangau yang bersempadanan dengan Negeri Sembilan ha


Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pahang mensasarkan sekurang-kurangnya 80 peratus ternakan ruminan di kawasan persempadan negeri ini diberikan suntikan pelalian bagi mencegah penyakit kuku dan mulut (FMD).

Pengarahnya, Datuk Dr. Norlizan Mohd Nor berkata, setakat ini bagi keseluruhan negeri Pahang, kira-kira 9,800 ekor ternakan ruminan yang telah divaksin, sementara di Bera sahaja, hanya 800 ekor daripada 2,000 ekor atau 40 peratus yang telah diberikan suntikan pelalian itu.

Menurutnya, memandangkan jumlah ternakan ruminan yang menerima vaksin ini masih rendah, Jabatan Perkhidmatan Veterinar giat melaksanakan kempen pencegahan penyakit FMD ini dengan mengubah corak kawalan dengan menumpukan kawasan persempadanan negeri.

"Sebelum ini, kita menumpukan kempen ini di kawasan penternakan yang aktif dan kerap terkena jangkitan FMD. Tetapi kita terlupa, di kawasan sempadan negeri juga, jangkitan ini boleh merebak. Sekurang-kurangnya kalau kita dapat capai sasaran 80 peratus ternakan untuk divaksin, itu dapat mencegah penyakit ini.

"Berdasarkan rekod dari Januari hingga sekarang, belum ada kes terbaharu dilaporkan. Ini berikutan penvaksinan yang aktif sejak Jun tahun lalu, apabila ternakan ruminan di kawasan sempadan diberikan suntikan pelalian sekali setiap tiga bulan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian pada Majlis Pelancaran Kempen Suntikan Pelalian Penyakit Kuku dan Mulut untuk Ternakan Ruminan di Kawasan Sempadan Pahang dan Negeri Sembilan, di Dewan Semai Bakti, semalam.

Majlis perasmian itu disempurnakan Adun Kemayan, Datuk Mohd Fadil Osman yang turut dihadiri Pegawai Perkhidmatan Veterinar Daerah, Osman Yusof.

Daerah persempadanan negeri yang diberikan keutamaan ialah Bera, Bentong, Rompin (Muazzam Shah dan Endau), serta Kuala Lipis.

Dr. Norlizan berkata, sekiranya ternakan itu diberikan vaksin sebanyak tiga kali, tahap imuniti terhadap serangan FMD lebih tinggi dan stabil sekali gus dapat mencegah penyakit berjangkit itu.

Katanya, walaupun penyakit FMD ini tidak membunuh atau menyebabkan kematian haiwan ternakan tetapi dalam jangka masa panjang, ia akan merugikan penternak itu sendiri.

"Kalau dah dijangkitkan, dalam tempoh tiga tahun sahaja, kita dapat lihat kesannya. Sebagai contoh, bagi penternak susu, hasilnya akan berkurangan, malah anak ternakan yang dilahirkan tidak sihat dan tidak mencapai berat sepatutnya. Keadaan ini memberi kesan kepada industri dan ekonomi penternak.

"Saya nasihatkan kepada penternak, jangan sesekali terpengaruh atau membeli ternakan yang dijual pada harga yang tidak munasabah kerana dikhuatiri ia telah dijangkiti penyakit FMD. Ini mungkin taktik yang digunakan pihak berkenaan untuk mengeluarkan haiwan yang telah dijangkit dari kelompok ternakan mereka, dan secara tidak langsung akan menyebabkan ternakan kita pula dijangkiti," katanya.


0 comments:

share2