Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, May 9, 2017

BUAH AJAIB PALING CURI TUMPUAN


Buah Ajaib paling curi tumpuan


Seremban - Anak pokok Buah Ajaib antara paling mencuri tumpuan sepanjang berlangsungnya Pesta Orkid dan Flora di Pusat Pameran dan Konvensyen Senawang (SECC), di sini.

Anak pokok Buah Ajaib atau nama saintifiknya Synsepalum Dulcifum dari keluarga Sapotaceae itu boleh ditemui di reruai Zaidi Rujin, 25, pada pameran yang sedang berlangsung sejak Sabtu lalu.

Menurut usahawan muda dari Kuala Kangsar, Perak, ini, kelebihan tumbuhan berkenaan terletak pada buahnya yang semula jadi manis tetapi tidak menjejaskan kesihatan penghidap diabetes jika memakannya. 

“Buahnya unik sebab tetap rasa manis setiap kali dimakan, walaupun selepas kita jamah makanan masam, masin, pedas, tawar atau payau sekalipun. 

“Buah Ajaib elok dibuat jus untuk mengatasi masalah migrain. Daunnya boleh dijadikan ulam kerana mempunyai khasiat untuk melegakan penyakit macam darah tinggi, kencing manis dan buasir,” katanya.

Zaidi bagaimanapun berkata, kesukaran mendapatkan biji benih menyebabkan pokok tersebut masih tidak banyak ditanam di negara ini.

“Asalnya dari Afrika Barat. Walaupun dah 10 tahun dibawa ke Malaysia, sekitar lima tahun kebelakangan ni kewujudannya mula diberi perhatian. Itu pun masih ramai tak tahu.

“Setakat ni, lebih kurang 30 peratus saja bilangan pokok Buah Ajaib yang ada di negara ni. Jangka hayatnya antara 30 dan 40 tahun. Satu pokok boleh hasilkan kira-kira 100 hingga 200 biji buah,” katanya.

Selain itu, anak pokok Kemunting Cina warna ungu atau nama saintifiknya Catharanthus Roseus dan Vinca Rosea dari keluarga Apocynaceae yang dijual di reruai Lee Kean Loke, 55, turut menarik perhatian pengunjung.

Menurut peniaga berkelulusan bidang agrikultur dari Universiti Putra Malaysia (UPM) ini, tumbuhan tersebut berkhasiat untuk melawan penyakit leukimia.

“Ambil bunganya dan keringkan, sebelum dibubuh dalam air untuk diminum. Satu pokok boleh hasilkan lebih kurang 400 hingga 500 kuntum bunga. Tapi jangka hayat pokok ni lebih kurang dua tahun saja.

“Kemunting Cina warna ungu susah nak dapat, berbanding warna lain. Nisbahnya dalam 4,000 hingga 5,000 pokok, baru dapat sepokok macam ni. Senang kata, warna ungu ni macam jenis mutasi,” katanya.

Pada masa sama, Kean Loke juga menjual Orkid Hutan atau nama saintifiknya Dendrobium yang jarang ditemui di pasaran. 

“Orkid Hutan tumbuh secara menumpang pada pokok balak. Tapi makin susah nak dapat sejak tahun 1992. Puncanya sebab banyak pokok balak dah ditebang.

“Pokok yang saya jual ni dah kacuk hasil kaedah kultur tisu menggunakan benih sedia ada. Setakat ni, khasiatnya sedang dikaji di China,” katanya mengakhiri bicara.

Pesta Orkid dan Flora yang dibuka kepada orang ramai akan berlangsung sehingga Ahad ini.


0 comments:

share2