Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, May 9, 2017

[MARAN] NAIK TARAF JETI LAMA CHENOR


Naik taraf Jeti Lama Chenor


Jeti Lama Chenor boleh dinaiktarafkan sebagai Waterfront (dermaga) bagi membolehkan kawasan tersohor sebagai pusat persinggahan pedagang dan perlumbaan pesta sungai suatu ketika dahulu itu dibangunkan secara terancang.

Ahli Parlimen Maran, Dato' Sri Ismail berkata, Jeti Lama Chenor itu kini sudah pun terdapat kemudahan antaranya tangga untuk turun ke sungai, astaka, pusat persinggahan bot serta tebing sungai yang indah dan cantik yang boleh dibangunkan bukan sahaja sebagai suatu pusat riadah, malah pusat tumpuan perniagaan.

Sehubungan itu, beliau menggesa Kementerian Pelancongan membuat kajian supaya kawasan jeti lama itu dibangunkan secara lebih terancang dan tersusun untuk tarikan pelancong, dalam dan luar negara.

“Daerah Maran ada banyak pusat rekreasi yang boleh dibangunkan. Jika dahulu kita ada Air Terjun Teladas yang merupakan pusat rekreasi pada hujung minggu tetapi kini, memandangkan air terjun tersebut dimajukan dengan pelbagai projek menyebabkan Jeti Lama Chenor kini semakin dilupakan.

“Bagaimanapun, dengan kejayaan program hari ini (semalam) membuktikan Jeti Lama Chenor boleh dibangunkan semula untuk Waterfront bagi tarikan pelancongan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media majlis penutupan Program Karnival Lumba Bot sempena memuliakan Hari Keputeraan Sultan Pahang yang disempurnakan oleh Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah di Jeti Lama Chenor, di sini, semalam.

Turut diadakan, pertandingan bot laju, pesta sungai, sukan kampung dan pelepasan 121,000 anak-anak ikan ke dalam Sungai Pahang, oleh Tengku Abdul Rahman.

Hadir sama, Exco Kerajaan Negeri Pahang, Dato' Shahaniza Shamsuddin; Pengerusi Jawatan Kuasa Kesihatan dan Sumber Manusia Negeri Pahang, Dato' Norol Azali Sulaiman; Adun Chenor, Dato' Mohammed Ariffin Awang Ismail dan Adun Luit, Norhidayah Shuhaimi.

Sementara itu, Pengerusi Chenor Tourism Club (CTC) yang juga Adun Chenor, Dato' Mohammed Ariffin berkata, sambutan menggalakkan daripada lebih 10,000 pengunjung terhadap pesta sungai itu membuktikan bahawa Jeti Lama Chenor mempunyai daya tarikan tersendiri untuk dibangunkan.

“Alhamdulillah tak sangka kunjungan sehingga lebih 10,000 orang. 21 acara dijalankan sepanjang karnival tersebut antaranya tarik tali, lumba bot, lumba perahu jalur, tuju tin, boling kelapa, lastik para, gubahan kelapa, masakan, memanah tradisional dan banyak lagi.

“Saya juga berterima kasih atas sokongan diberi Tengku Abdul Rahman, Perdana Menteri, Dato' Sri Najib Tun Razak atas kerjasama terhadap perancangan program ini terhadap CTC. Saya juga berterima kasih kepada Datuk Seri Ismail berhubung cadangan dan sokongan membangunkan Jeti Lama Chenor sebagai Waterfront.

“Insya-ALLAH kita akan jadikan ia antara acara tahunan yang mana Karnival Bot ini sebagai pengisian terhadap program Sukan Air Pahang yang tersenarai dalam Kalendar Pelancongan Negeri Pahang,” katanya.

Dalam pada itu, Mohammed Ariffin turut bercadang untuk mengemukakan permohonan mewujudkan rumah rehat di Mukim Chenor, seiring dengan pembangunan dan kepelbagaian tarikan mukim tersebut.

“Saya melihat kepentingan wujudnya rumah rehat di Chenor kerana aktiviti sebegini mampu tarik perhatian orang ramai berkunjung.

“Kita bukan sahaja mempunyai acara sungai malah Chenor kaya dengan keindahan flora seperti di Bukit Kertau serta makanan tradisi yang tidak terdapat di lokasi lain,” katanya.


0 comments:

share2