Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, May 22, 2017

BERINGATLAH, PESAN UMI


Beringatlah, pesan Umi


“UMI tidak tahu di mana silap Umi. Mungkin ini suratan takdir buat Umi”.

Demikian luahan seorang ibu tunggal, berusia 56 tahun, yang mempunyai seorang anak lelaki penghidap HIV.

Anak tunggalnya yang berusia 28 tahun kini tidak mampu lagi menguruskan diri selepas disahkan menghidap HIV tahun lalu.

Bercerita mengenai kehidupan anaknya sebelum ini, wanita yang lebih mesra dengan panggilan Umi itu menyedari apa yang berlaku terhadap anak tunggalnya itu.

Menurut Umi, dia mengesyaki anaknya menjalin hubungan sejenis ketika di remaja.

“Umi bagi nasihat, Umi nak dia berubah dan mendekatkan diri dengan ALLAH. Ketika itu dia diam. Umi tak pernah berhenti berdoa supaya dia berubah,” katanya.

Bagaimanapun menurut Umi, kehidupan songsang anaknya itu berterusan sehingga dia bekerja.

“Umi di utara. Dia di selatan. Umi tidak tahu cara hidup dia di sana,” katanya yang bekerja sebagai pembantu restoran.

Menurut Umi, dia mengetahui anaknya menghidap HIV selepas dimasukkan ke sebuah hospital akibat batuk berpanjangan.

“Ketika itulah dia mengaku semua perbuatannya. Umi tak mampu nak kata apa. Nak marah dah tak boleh. Sedih? Tak tahu lah.

“Dia pula, daripada seorang periang, berubah jadi pendiam Mungkin dah sedar silap dia,” katanya.

Umi menjelaskan, selepas berdepan pelbagai komplikasi kesihatan, dia terpaksa berhenti kerja demi memberi tumpuan sepenuhnya menjaga anak kesayangannya itu.

“Tidak mungkin Umi nak tinggalkan dia seorang diri. Dia anak tunggal Umi. Siapa Umi nak hukum dia? Itu urusan dia dengan ALLAH. Umi tetap jaga dia, itu tanggungjawab Umi tetap sebagai ibu,” katanya redha dengan apa yang berlaku.

Dalam pada itu, Umi turut menasihati golongan muda supaya sentiasa beringat menempuh kehidupan dan tidak boleh memikirkan keseronokan yang sebenarnya sementara sahaja.

“Jangan fikir nak seronok saja. Fikir juga kesihatan diri, keluarga dan masa depan kamu semua.

“Macam Umi, semuanya dah berlaku. Nak menyesal? Umi tidak tahu nak cakap apa tapi Umi anggap ini adalah ujian,” katanya.


0 comments:

share2