Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, May 24, 2017

10 MEDIA BERSINERGI SERTAI #QURANHOUR


10 media bersinergi sertai #QuranHour


Shah Alam - Selepas #QuranHour mendapat sambutan luar dugaan pada penganjuran yang lalu, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI) sekali lagi menganjurkan program sama untuk menjadikan bacaan al-Quran sebagai satu amalan harian melalui Malaysia #QuranHour pada 24 Ramadan dan World #QuranHour pada 31 Ogos ini.

Sebanyak 10 organisasi media cetak dan elektronik utama akan bersinergi bagi mempromosi kedua-dua program tersebut sebagai satu momentum gerakan mengajak umat Islam mendekati al-Quran.

Sinar Harian adalah antara organisasi media tersebut, selain Utusan Malaysia, Kosmo, Bernama, Radio dan Televisyen Malaysia (RTM), Astro, Kumpulan Media Prima, TV AlHijrah serta Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI) sebagai sekretariat kempen.

Gabungan kerjasama itu adalah susulan kejayaan World #QuranHour yang masuk tahun ketiga penganjurannya yang mencatat rekod penyertaan jutaan umat Islam daripada 50 negara tahun lalu.

#QuranHour membawa visi untuk menggalakkan umat Islam seluruh negara dan dunia supaya bersama-sama meluangkan masa bagi membaca, memahami, menghayati serta berinteraksi tentang isi kandungan al-Quran.

Bertemakan Bangsa Berbudi dan Penyayang, ia dijangka berlangsung di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, mulai jam 12 hingga 1 tengah hari.

Bagi kempen World #QuranHour dengan tema World of Compassion (Dunia Kasih Sayang), ia dijadualkan diadakan di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Pengasas WUI, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, gabungan 10 media utama menyertai kempen dilihat mampu menghasilkan gelombang luar biasa untuk menarik perhatian umat Islam sama ada yang tahu dan tidak tahu membaca al-Quran supaya dapat membaca kitab suci itu dan menjadikannya sebagai panduan hidup.

“Setiap media ada kekuatan masing-masing dan gabungan ini pastinya memberi impak yang amat besar. Seperti tahun lepas, kempen yang diberi publisiti oleh media utama ini mendapat maklum balas amat positif.

“Kebanyakan umat Islam kini kurang memahami erti Islam, malah ada yang tidak tahu membaca al-Quran dan disebabkan itu, dengan memperluaskan kempen ini, sekurang-kurangnya mereka terpanggil untuk kembali kepada agama dan kitab, seterusnya mengamalkannya dalam kehidupan seharian,” katanya pada sidang media sempena program itu di Kumpulan Media Karangkraf, di sini, semalam.

Malah, 10 wakil media utama yang hadir turut berjanji untuk memberikan komitmen terhadap program tersebut bagi mengangkat kesucian kitab suci itu.

Pelakon terkenal, Datuk Rosyam Nor sekali lagi menjadi duta kempen kali ini.

Hussamuddin berkata, #QuranHour adalah gerakan berskala besar yang membawa agenda ummah untuk umat Islam bersama-sama mencintai al-Quran.

“Ia digerakkan secara besar-besaran bersama media seluruh negara kerana al-Quran mampu mengubah ekosistem dunia hari ini yang semakin menakutkan.

“Amalan rasuah, penyelewengan, jenayah, kepincangan keluarga berlaku kerana manusia tak memahami al-Quran. Dunia memandang serong terhadap Islam, kerana orang Islam itu tidak memahaminya agamanya sendiri,” katanya.


0 comments:

share2