Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, April 8, 2017

[TEMERLOH] BINA 25 UNIT RUMAH MESRA RAKYAT 1MALAYSIA

Bina 25 unit RMR1M di Temerloh



Kerajaan memberikan subsidi berjumlah hampir RM800,000 bagi membina 25 unit Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M) di bawah program rumah mampu milik dilaksanakan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) bagi kawasan Parlimen Temerloh, tahun ini.

Exco Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, daripada jumlah itu kerajaan menanggung subsidi pembinaan RM500,000 untuk kesemua rumah tersebut dan subsidi kadar keuntungan pinjaman berjumlah RM296,000.

Menurutnya, itu bermakna kerajaan memberikan subsidi berjumlah RM796,000 bagi membina dan menyejahterakan 25 keluarga yang menerima bantuan pembinaan rumah di bawah program itu untuk Parlimen Temerloh tahun ini.

“Rumah berharga RM65,000 ini dibina atas kelayakan pemohon yang mempunyai gaji di bawah RM3,000 seisi rumah dan hampir separuh daripada jumlah itu iaitu RM31,000 ditanggung kerajaan.

“Setiap unit rumah kerajaan menanggung subsidi pembinaan RM20,000 dan subsidi kadar keuntungan pinjaman bernilai lebih RM11,000,” katanya sewaktu merasmikan majlis Penyerahan Sijil Kelayakan dan Inden Kerja RMR1M peringkat Parlimen Temerloh di sini kelmarin.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SPNB, Datuk Ahmad Azizi Ali.

Mohd Sharkar berkata, pembeli yang layak hanya membayar lebihan daripada jumlah itu berserta baki kadar keuntungan pinjaman masing-masing dan boleh menduduki rumah sendiri yang lebih selesa dan sempurna.

Beliau berkata, sejak dilaksanakan pada 2002, sebanyak 762 permohonan pembinaan RMR1M bagi Parlimen Temerloh dan daripada jumlah itu, permohonan 270 pemohon diluluskan.

Menurutnya, sejak 15 tahun lalu, 244 unit RMR1M siap dibina di kawasan Parlimen Temerloh, 25 unit dalam peringkat pembinaan, satu dalam peringkat dokumen dan 244 permohonan dalam senarai menunggu.

Mohd Sharkar juga menasihatkan 11 kontraktor yang dipilih SPNB untuk menyiapkan 25 unit rumah tersebut supaya dapat melaksanakan tanggungjawab mereka dengan sempurna.

Sementara itu, Ahmad Azizi menyarankan kontraktor dan pemohon yang diluluskan permohonan membina rumah itu supaya sentiasa berhubung untuk memastikan kelancaran pembinaan rumah masing-masing.


Sumber


0 comments:

share2