Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, April 23, 2017

[TEMERLOH] BAYARAN KOMPAUN PARKIR RM5


Bayaran kompaun parkir RM5


Sempena Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2017, Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) bertindak proaktif menawarkan diskaun kompaun kesalahan letak kereta kepada orang ramai.

Yang Dipertua MPT, Azlan Md Yaman berkata, sempena penawaran diskaun sepanjang MSAM itu orang ramai yang mempunyai kompaun kesalahan parkir kenderaan hanya perlu membayar RM5 bagi setiap kompaun dikenakan.

“Bermula semalam, orang ramai yang mempunyai kompaun kesalahan letak kereta RM10 atau tunggakan dengan maksimum RM50 hanya perlu membayar RM5 bagi setiap kompaun.

“Jadi kita pelawa orang ramai datang ke kaunter pameran MPT di dewan pameran MSAM di sini bagi menjelaskan kompaun masing-masing,” katanya kepada pemberita ketika ditemui, semalam.

Azlan berkata, tawaran diskaun berkenaan merupakan inisiatif MPT dalam usaha mengurangkan jumlah tunggakan kompaun oleh MPT.

Katanya, inisiatif sempena MSAM yang julung kali diadakan di Temerloh itu juga diharap dapat meringankan beban orang ramai dan menggalakkan mereka membayar kompaun serta mematuhi peraturan ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Dalam pada itu, beliau berkata, pada masa ini MPT merekodkan kira-kira 36,000 tunggakan kompaun letak kereta di daerah ini.

Katanya, pada masa ini pihaknya sedang meneliti setiap kompaun untuk dibawa ke mahkamah bagi tindakan lanjut.


0 comments:

share2