Umur sudah melewati usia belia, namun semangatnya untuk membangunkan dan memajukan belia di tanah rancangan masih berkobar-kobar di sanubari.
Tidak hanya memeluk tubuh, Rosli Abu Kassim kerap melahirkan berbagai-bagai idea untuk mencari ruang dan peluang kepada para belia menceburkan diri dalam komuniti khususnya membabitkan bidang keusahawanan.
Menurutnya, bidang perniagaan sememangnya menjanjikan pendapatan lumayan sekiranya individu terbabit benar-benar serius melaksanakan tanpa rasa putus asa.
“Biasalah, adat berniaga ada untung... ada rugi. Saya sendiri pun berniaga. Kena sabar, tabah dan jangan pernah kenal erti jemu.
“Kerenah pelanggan tidak boleh ambil serius. Kita berniaga untuk memenuhi kehendak mereka, bukan untuk diri sendiri. Kalau mahu memuaskan hati pelanggan, kita kena bijak mempelbagaikan strategi,” katanya.
Menurut Rosli, masih ada dalam kalangan belia yang suka mencari jalan mudah untuk berjaya, sedangkan dalam setiap pekerjaan memerlukan pengorbanan. Beliau yang juga Fasilitator MBFM memberitahu, tiada salahnya memohon dan menerima bantuan pihak tertentu untuk memulakan perniagaan tetapi mestilah menghargai pemberian itu dan memanfaatkan bantuan yang diterima sebaik mungkin.
“Bukannya apabila dapat bantuan seperti alat atau mesin, kita jual pula pada orang lain. Ini yang saya katakan, jalan mudah untuk berjaya tetapi dalam masa singkat sahaja.
“Sepatutnya, kita guna pakai bantuan itu untuk menambah baik dan mengembangkan perniagaan. Jika individu terbabit dapat buktikan mereka berjaya, tidak mustahil bantuan susulan pula akan diberikan,” katanya.
Sebagai Ahli Lembaga Pengarah Koperasi Felda Sebertak Berhad, Rosli juga menggalakkan belia menyertai kursus atau aktiviti anjuran MBFM supaya buka minda dan meluaskan pengetahuan berkaitan bidang yang diceburi.
Katanya, belia yang banyak beri alasan sukar untuk berjaya berbanding mereka yang telah berusaha dan gagal beberapa kali, akan mematangkan mereka untuk gapai kejayaan.
“Ramai anak peneroka yang berjaya, yang boleh dijadikan contoh. Janganlah terlalu mengikut emosi sehingga melalaikan diri sendiri, sekali gus memusnahkan masa depan sendiri,” katanya.
0 comments:
Post a Comment