Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, April 15, 2017

[ROMPIN] DICEKUP BERSAMA TUJUH PAKET DADAH


 Dicekup bersama tujuh paket dadah


Seorang lelaki dipercayai pengedar dadah secara kecil-kecilan ditahan dalam satu serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Rompin di sebuah rumah di Felda Keratong 8, di sini, kelmarin.

Dalam serbuan pada jam 8 pagi di rumah suspek, 29, itu, pihak polis telah merampas dadah jenis heroin (147 gram) dan syabu (24 gram) serta menyita sebuah motosikal.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superitendan Azli Mohd Noor, berkata, suspek ditahan ketika berada di bahagian hadapan rumah itu manakala hasil pemeriksaan lanjut telah menjumpai satu beg pinggang warna coklat tidak berjenama di atas sebuah meja kayu.

"Hasil pemeriksaan ke atas beg berkenaan, polis mendapati ada empat paket plastik lutsinar berisi ketulan dan serbuk warna putih keperangan disyaki dadah berbahaya.

"Selain itu, polis turut menemui tiga paket plastik lutsinar berisi ketulan dan serbuk kristal disyaki dadah berbahaya dan satu alat timbang digital warna hitam tidak berjenama," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Azli berkata, polis telah menangkap suspek dan merampas kesemua barang kes untuk siasatan lanjut.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati suspek memiliki rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah dan ujian saringan air kencing menunjukkan dia positif dadah.

"Suspek direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut manakala jumlah nilai rampasan bagi kedua jenis dadah dianggarkan sebanyak RM5600," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 39A (1) ADB 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952.


0 comments:

share2