Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, April 15, 2017

[JERANTUT] ‘ASALKAN HELLO KITTY...'


‘Asalkan Hello Kitty...’


'Dari dulu lagi saya memang suka sangat Hello Kitty,' kata seorang peniaga kedai runcit di Felda Lepar Utara, Jerantut yang sanggup berhabis bagi menghiaskan keretanya dengan menggunakan konsep watak kartun dari Jepun itu. 

Nor Saadah Mariman, 30, berkata, dia mula membeli Proton Gen 2 itu sekitar tiga tahun lalu dan mula menghias sejak memiliki kereta.

“Semua saya buat sendiri...saya hias setiap sudut luar dan dalam kereta. Setakat ini saya habiskan tak sampai RM5,000,” katanya.

Menurutnya, antara pengubahsuaian dilakukan ialah menggunakan sehelai selimut yang dibeli di pasar raya, namun cukup untuk membolehkan keretanya itu kelihatan lain daripada yang lain. 

“Selimut tu saya beli dan jahit sendiri untuk dihias di bahagian dalam bumbung kereta dan pintu. 

“Sarung kerusi pun saya jahit sendiri,” katanya. 




Dia juga memberitahu, selain selimut, dia turut membeli patung Hello Kitty untuk dekorasi kek di kedai kek untuk diletakkan sebagai hiasan dalaman keretanya. 

“Saya beli barang hiasan kereta merata-rata tempat... asalkan Hello Kitty. Patung-patung kecil yang ada dalam kereta saya ini kebanyakannya saya beli kat kedai kek,” katanya. 

Nor Saadah berkata, suaminya, Mohd Nor Azri Johari, 33, banyak membantunya menghias keretanya itu. 

“Suami saya pasang 'tinted' kereta...pasang pelekat kereta. Sembur cat warna merah jambu pada bahagian dalam pintu kereta. Semuanya suami dan saya buat sendiri. Tak perlu hantar ke kedai pun. Kosnya pula jauh lebih jimat,” katanya. 

Menang pelbagai anugerah




Usaha Nor Saadah mengubahsuai keretanya itu mendatangkan hasil apabila dia yang merupakan ahli GenTwo Owner Club (GTOC), sering memenangi pelbagai anugerah dalam pertandingan yang disertainya menerusi pelbagai acara pameran kereta atau pemotoran. 

Terbaru, dia menjadi johan pertandingan autoshow bagi kategori Open Standard bersempena pameran permotoran pada program Bicara Banteras Dadah Habis-Habisan Peringkat Daerah Jerantut bertempat di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (Adtec) Temin, di sini, 25 Mac lalu, anjuran Agensi Anti dadah Kebangsaan (AADK) Jerantut. 

“Selain menyertai GTOC, saya juga merupakan setiausaha kelab permotoran daerah ini selain juga merupakan ahli kelab Sagat Crew Ladies Motorsport yang merupakan platform buat kaum wanita yang meminati dunia permotoran. 

“Selain menyertai kelab permotoran, saya banyak terlibat dengan pameran kereta. Selain itu, permotoran ini juga merupakan wadah untuk saya melibatkan diri dalam aktiviti sihat dan kerja-kerja amal,” katanya. 

Dapat sokongan keluarga, rakan



Nor Saadah berkata, menjadi seorang wanita tidak menghalangnya untuk turut meminati dunia pengubahsuaian kereta walaupun tidaklah terlalu ekstrem sehingga mengubahsuai enjin dan sebagainya. 

“Saya tidak ubah suai enjin. Saya cuma ubah bentuk dalam kereta saja semata-mata untuk kepuasan diri. 

“Zaman sekarang sudah tidak pelik untuk wanita terlibat dalam dunia permotoran kerana ia bukanlah dunia yang hanya sinonim dengan perlumbaan sebagaimana tanggapan orang.

“Sebaliknya ia adalah platform terbaik untuk belia menjalani aktiviti sihat,” katanya lagi. 

Tambahan pula kata anak sulung dari tujuh beradik itu, minatnya terhadap aktiviti modifikasi kereta juga sering mendapat sokongan dari ahli keluarga dan rakan-rakan. 

“Mereka tahu saya minat hias kereta dan minat pada Hello Kitty. Bila mereka jumpa barang yang saya suka, mereka akan segera maklumkan pada saya. 

“Malah mereka juga sanggup keluarkan duit terlebih dahulu untuk membelinya sebelum menyerahkannya kepada saya,” katanya.


0 comments:

share2