Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, April 10, 2017

ROMPIN CATAT KADAR KEMALANGAN TERTINGGI


Rompin catat kadar kemalangan tertinggi


Rompin menjadi daerah rintis pelaksanaan strategi keselamatan jalan raya di peringkat negeri melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) di negeri ini.

Pemilihannya diputuskan ahli mesyuarat Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Negeri Pahang mengambil kira peningkatan kes kematian dan kemalangan jalan raya di daerah itu adalah yang tertinggi di negeri ini.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang merangkap Timbalan Pengerusi MKJR negeri, Datuk Mark Ujin berkata, strategi keselamatan jalan raya itu diusulkan Kementerian Pengangkutan sebagai salah satu inisiatif untuk mengatasi peningkatan kes-kes kemalangan jalan raya terutama melibatkan kematian.

Menurutnya, ia bagi mengenal pasti punca dan strategi bagi mencapai matlamat United Nation of Action for Road Safety (UN-DOA) mengurangkan kadar kemalangan dan kematian melalui pendekatan NBOS di peringkat tempatan dan pendekatan berasaskan hasil.

“Berdasarkan statistik Cawangan Trafik Bukit Aman, sebanyak 521,466 kemalangan dilaporkan di seluruh negara tahun lalu dengan 7,152 kematian.

“Daripada jumlah itu 20,476 kes dilaporkan di Pahang dengan 547 kematian dan daerah Rompin menyumbang hampir 12 peratus kadar kemalangan jalan raya di negeri ini selain mencatatkan peningkatan tertinggi kadar kematian di jalan raya iaitu sebanyak 66 kes atau 32 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Bengkel NBOS Kluster Keselamatan Jalan Raya Daerah Rompin di Rompin Beach Resort, Rompin, kelmarin.

Bengkel yang disertai wakil 31 agensi kerajaan dan bukan kerajaan itu merupakan pendekatan MKJR Pahang bersama JKJR negeri dan Pejabat Daerah dan Tanah Rompin bagi merealisasikan hasrat mencapai penurunan 50 peratus kadar kemalangan dan kematian pada 2020.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR ) Pahang, Wan Musa Wan kadir berkata, menyedari kadar kematian yang semakin meningkat, kerajaan perlu memikirkan kaedah dan strategi baru bagi mengatasi masalah kemalangan dan kematian di jalan raya ini.

“Tujuh kaedah yang akan digunakan dalam membentuk strategi keselamatan jalan raya iaitu memahami keadaan keselamatan jalan raya semasa, ciri-ciri tempatan yang mempengaruhi keselamatan jalan raya dan mengatur kerangka strategi untuk mencapai matlamat yang ditentukan bersama.

“Selain itu, kaedah ini turut meletakkan hasil yang ingin dicapai untuk membantu pencapaian matlamat, mencadangkan intervensi dan aktiviti untuk membantu mencapai hasil. memantau pelaksanaan program dan pencapaian hasil dan mencadangkan penambahbaikan dan usaha tambahan untuk menambahkan hasil melalui analisis data dan juga penyelidikan,” katanya.


0 comments:

share2