Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, April 29, 2017

[LIPIS] BERKENU MENGHILIR SUNGAI TANUM

Berkenu menghilir Sungai Tanum



KEBIASAAN Taman Negara Sungai Relau di Merapoh, Kuala Lipis di sini dikunjungi sekumpulan pendaki Gunung Tahan atau individu yang mandi bersama ikan kelah.

Tidak ramai yang mengetahui lokasi itu menawarkan aktiviti berkenu menghilir Sungai Tanum sejauh 32 kilometer selama tiga hari dua malam.

Penulis menyertai 30 peserta lain dari kumpulan RboTeam dan belia Padang Tengku menyahut cabaran serta merasai sendiri pengalaman berkenu di sungai tersebut.

Ekspedisi anjuran Pusat Khidmat Adun Padang Tengku dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Sungai Relau itu dikendalikan kakitangan RA Advanture yang mahir mengenai selok-belok sungai di taman negara itu.

Selesai urusan pendaftaran di pejabat Perhilitan, kami menaiki pacuan empat roda sejauh 10 kilometer ke lokasi permulaan di Kuala Juram.

Kelengkapan dan barang keperluan diisi dalam tong atau dibalut plastik sebagai persediaan sekiranya berlaku insiden kenu terbalik ketika merentasi jeram.

Persekitaran semula jadi di sepanjang laluan cukup memukau pandangan seakan berada di dunia asing yang penuh ketenangan.
Imbang dayungan elak kena hanyut

Sebaik sampai di tempat permulaan, masing-masing mengambil tempat di dalam kenu dan berasa tidak sabar untuk mula mendayung.

Melepasi beberapa jeram berarus deras memaksa peserta mengimbangi dayung bagi mengelak kenu hanyut melanggar kayu atau tersangkut pada pokok tumbang.

Buat kaki pancing, di sini terletaknya lubuk yang ‘mewah’ dengan pelbagai spesies ikan terutama Kelah Merah, Kejor, Tengas, Sebarau dan Baung Akar.

Hampir lima jam mendayung, hujan mulai lebat memaksa pemandu arah dari Perhilitan mengambil keputusan ekspedisi hari pertama berhenti dan bermalam di Kuala Tebung memandangkan hari semakin gelap.
Aktiviti ‘lempar joran’

Hari kedua ekspedisi diteruskan sejauh 10 kilometer melalui Kuala Ceruai hampir lapan jam dan beberapa kali berhenti di kawasan lubuk bagi memberi laluan kepada kaki pancing ‘melempar’ joran.

Suasana sunyi dan hanya sesekali terdengar bunyi serangga memecah sepi membuatkan kami lupa seketika mengenai dunia luar.

Terdapat juga laluan cetek yang memerlukan kami turun untuk menarik kenu bagi melepasi halangan terutama di kawasan berbatu.

Bagi laluan yang dilintangi pokok tumbang, kenu terpaksa diangkat.

Kami berhenti bermalam tapak perkhemahan di Lubuk Meroh dengan tujuan untuk meneruskan aktiviti memancing pada sebelah malam.

Nasib tidak menyebelahi apabila hujan lebat pada jam 8 malam dan hanya mampu berada di dalam khemah masing-masing sehingga tertidur akibat kepenatan berkenu di siang hari.

Jam 1 pagi, hujan mulai reda dan ada di antara kami yang bangun untuk memancing walaupun paras sungai meningkat.

Baung akar tidak menghampakan dan baharu dua jam memancing, paras sungai semakin tinggi dengan arus deras yang berkemungkinan akibat hujan lebat di bahagian hulu.

Dua objek melintasi hadapan mereka yang sedang memancing tidak jauh dari kawasan khemah.

“Kenu hanyut!, bangun, bangun”

Suasana kecoh itu menyebabkan tidur rakan lain terganggu namun usaha mengejar dua kenu hanyut itu gagal berikutan arus terlalu deras.
Debar jumpa jeram

Masing-masing mula mengemas barang bagi meneruskan ekspedisi hari terakhir sejauh 14 kilometer melalui Jeram Rek yang pasti lebih mencabar.

Empat peserta yang kehilangan kenu terpaksa menumpang kenu lain dan kami memulakan aktiviti sejawal jam 8 pagi.

Enam insiden kenu terbalik berlaku selepas hilang kawalan ketika cuba melepasi jeram dengan paras air tiga gali ganda tinggi berbanding hari sebelumnya.

Degupan jantung memuncak naik setiap kali bertemu jeram kerana sebarang kemungkinan boleh berlaku jika arus deras mengheret kenu melanggar pokok atau terperosok ke dalam semak.

Syukurlah apabila kami berjaya menamatkan ekspedisi di Kuala Relau pada jam 12 tengah hari iaitu dua jam lebih awal kerana arus deras.

Pengalaman yang cukup berharga dan kepada sesiapa yang gemar aktiviti lasak, penulis saran anda menyahut cabaran berkenu di Taman Negara Sungai Relau, Merapoh.




0 comments:

share2