Seorang warga emas gundah gulana memikirkan rumahnya di Kampung Baru Beserah, di sini yang semakin usang.
Mek Goh @ Mek Wok Ali, 80, berkata, rumah didiami sejak dua tahun lalu itu berkemungkinan runtuh pada bila-bila masa sahaja.
Bagaimanapun disebabkan kesempitan hidup, dia dan anak perempuannya terpaksa berteduh di rumah tersebut walaupun dindingnya berlubang dan reput.
“Makcik selalu fikir pasal rumah ini. Hari demi hari dinding rumah dimakan anai-anai dan mereput. Makcik tak mampu nak baiki kerana tak ada wang.
“Mahu tak mahu makcik terpaksa tinggal di rumah ini walaupun berlubang. Anak makcik yang tinggal bersama makcik ini pun tak ada kerja tetap jadi macam mana nak baiki,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.
Walaupun mempunyai empat anak, Mek Goh tidak pernah meminta pertolongan daripada anak-anaknya kerana memahami keadaan mereka yang turut hidup dalam kemiskinan.
“Makcik nampak kesusahan anak-anak makcik, sebab itu makcik tak paksa mereka bantu makcik untuk baiki rumah.
“Tapi makcik syukur sebab mereka ambil berat soal makan, minum dan pakai makcik bersama adik mereka ini ,” katanya.
Warga emas itu dan anaknya yang berusia 50 tahun bergantung sepenuhnya kepada bantuan bulanan RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan wang zakat RM200 untuk meneruskan hidup.
Mek Goh berkata, mereka berdua menjalani kehidupan secara sederhana dan dia mengakui tidak pernah berlapar kerana wang bantuan diterima, digunakan dengan sebaiknya.
Selain itu, dia turut menerima bantuan berupa makanan daripada penduduk dan pemimpin setempat yang bersimpati dengan kesusahan dialaminya.
Dalam pada itu, Mek Goh berharap terdapat individu dan pemimpin yang sudi membantu membaiki rumahnya.
“Makcik tak minta lebih, cukuplah kalau dapat tukar dinding rumah yang usang dan berlubang itu,” katanya.
0 comments:
Post a Comment