Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, April 8, 2017

EKSPRESI NEGARAKU GEGARKAN SUNGAI PETANI

Ekspresi Negaraku


SUNGAI PETANI - Ribuan pengunjung dari segenap lapisan masyarakat dan peringkat umur memenuhi pekarangan Amanjaya Mall di sini bagi menyertai Ekspresi Negaraku, satu daripada inisiatif di bawah Negaraku, yang dipacu oleh rakyat bertunjangkan semangat cintakan Malaysia.

Menurut siaran media daripada pihak penganjur, majlis pelancaran program itu dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa pada jam 11 pagi tadi.

Acara yang bermula seawal jam 7 pagi dimulai dengan Larian Bendera Negaraku yang disertai kira-kira 3,000 peserta diikuti dengan senamrobik dan tabata.

"Melalui inisiatif Negaraku, kita mahu menerapkan dan membangkitkan semula jati diri kita semua sebagai rakyat Malaysia di semua peringkat hingga ke akar umbi.

"Kita berhasrat untuk sematkan di dalam hati rakyat bahawa Malaysia adalah milik kita bersama, jadi kitalah bertanggungjawab memelihara dan memastikan negara ini sentiasa berada dalam keadaan aman dan sentosa," kata Ali dalam ucapan pembukaannya.

Sejurus selepas perasmian, Ali kemudiannya melawat sekitar tapak acara di samping berinteraksi dengan ikon dan selebriti tempatan, antaranya Nelliesa Omar (pejuang kanser), Mat Redho (peserta sukan lasak antarabangsa) dan Siti Hanisah Sharuddin (pendaki everest wanita pertama Malaysia).

Program yang berlangsung sehingga jam 10.30 malam ini juga diserikan dengan penampilan istimewa pasukan pancaragam Sekolah Menengah Kebangaan Keat Hwa dari Alor Setar yang merupakan juara Pertandingan Pancaragam Dunia 2016.

Kedah merupakan lokasi kedua program itu dilangsungkan selepas ia dilancarkan pada 18 Mac lalu di Putrajaya oleh perdana menteri.

Inisiatif itu bertujuan untuk menyemarakkan lagi rasa cinta negara dalam setiap jiwa rakyat Malaysia, mengetepikan sebarang perbezaan serta bersatu hati dalam menjayakan cita-cita bagi membentuk Malaysia yang lebih makmur dan berjaya.




0 comments:

share2