Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, April 25, 2017

[BERA] TERKEJUT DENGAR DENTUMAN KUAT


Terkejut dengar dentuman kuat


Tidak sampai lima minit tiba di rumah, seorang peneroka dan rakannya terkejut mendengar bunyi dentuman kuat di bahagian belakang rumahnya, kira-kira jam 1 pagi, kelmarin.

Mohd Johari Hashim, 59, berkata, sebelum kejadian, hujan berserta ribut melanda kawasan itu dan dipercayai menyebabkan dahan pokok durian berusia lebih 30 tahun itu patah tetapi tidak jatuh.

“Masa itu, saya dan Pak Ya (Mohd Yusof Mohamad, 61) baharu balik dari salah satu program bersama Ahli Parlimen Bera di Felda Mayam, dan kami terdengar bunyi berdentum tu betul-betul lepas kami buka kasut.

“Bila Pak Ya suruh saya tengok, saya rasa cuak juga. Tetapi, bila kami ke belakang, tengok-tengok dahan kecil dan ranting bersepah di luar rumah. Bila saya periksa betul-betul, rupanya dahan hempap bumbung dapur rumah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui, di sini.

Dia yang dikenali sebagai Pak Tam berkata, beberapa peralatan seperti dapur memasak, pinggan mangkuk serta sebahagian dapurnya musnah.

Menurutnya, laporan polis sudah dibuat dan insiden itu juga dimaklumkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta pengurusan Felda untuk tindakan lanjut.

Katanya, buat masa ini, bumbung dapur rumahnya itu ditutup dengan kanvas sementara menunggu ia dibaiki, sama ada menerusi insurans Felda atau bantuan agensi berkaitan.

“Mujur semasa kejadian, isteri saya dalam bilik. Jadi, tiada yang cedera cuma barang-barang sahaja yang rosak. Jadi, anak-anak balik yang tolong letak kanvas terlebih dahulu, untuk elak panas dan hujan.

“Terima kasih kepada semua pihak yang prihatin, termasuk wakil rakyat yang turut ziarah saya,” katanya.

Sementara itu, Adun Kemayan, Dato' Mohd Fadil Osman berkata, sebaik diberitahu, beliau segera melawat mangsa serta meninjau lokasi kejadian.

Katanya, pihaknya bersimpati dengan kejadian yang menimpa Pak Tam dan akan membantu meringankan bebanan ditanggungnya.

“Saya lihat di kebanyakan rumah peneroka, banyak pokok-pokok yang sudah berusia lebih 30 tahun dan perkara ini membimbangkan kerana kejadian seperti ini mungkin akan berulang, kalau tak di rumah ini, mungkin rumah orang lain.

“Saya nasihatkan kepada penduduk supaya lebih berhati-hati. Kalau pokok yang tidak lagi mengeluarkan hasil eloklah ditebang,” katanya.


0 comments:

share2