Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, April 4, 2017

[BENTONG] PENDUDUK LURAH BILUT LEGA SELESAI MASALAH

Penduduk Lurah Bilut lega masalah selesai



Penduduk di Felda Lurah Bilut kini boleh menarik nafas lega apabila masalah air bertakung dan melimpah di pintu gerbang Felda Lurah Bilut berjaya diselesaikan.

Pembinaan culvert dan penurapan semula jalan telah siap dilakukan di bawah Projek Rakyat Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) hasil usaha daripada pihak Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Lurah Bilut.

Pengurus Felda Lurah Bilut, Mohd Khairul Nizam Alias berkata, pembinaan pembetung itu telah siap pada hujung tahun lalu dan penurapan semula jalan terbabit baharu saja dilaksanakan sekaligus dapat mengelak air bertakung di kawasan pintu gerbang itu.

“Bila hujan lebat tiada lagi air bertakung kerana air akan terus melalui culvert dan menuju ke longkang.

“Kawasan pintu gerbang ni kawasan rendah...jadi bila musim hujan air mesti melimpah atas jalan raya dan bertakung dan sekaligus boleh membahayakan pengguna jalan raya.

“Dengan dua projek ini, saya yakin masalah terbabit tidak akan berulang kerana pihak KKLW telah berikan culvert yang lebih besar dari apa yang kita mohon,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini semalam.

Beliau yang mewakili penduduk menghargai tindakan segera KKLW dalam mengatasi masalah penduduk di sini.

Sementara itu, penduduk, Yip Seng Lam berkata, langkah yang diambil pihak itu sekaligus mengurangkan risiko kemalangan melibatkan penduduk dan pengguna jalan raya.

“Lega sangat semuanya dah selesai, bila hujan kita dah tak risau, jalan pun dah rata...tak macam dulu,” katanya.




0 comments:

share2