Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, April 6, 2017

500 AHLI BERSATU REMBAU KELUAR PARTI

500 ahli Bersatu kawasan Rembau keluar parti



SEREMBAN - Seramai 500 ahli Bersatu kawasan Rembau mengumumkan keluar parti berkuasa malam ini ekoran kecewa dengan kepimpinan sedia ada yang didakwa mengamalkan amalan kroni dan tiada hala tuju.

Bekas Ketua Aktivis Bersatu Negeri Sembilan, Mohd Anas Sudin berkata, keputusan itu dibuat selepas hasil perbincangan dalam mesyuarat bersama ahli gerakannya pada 28 Mac lepas.

"Ini adalah permulaan kerana selepas ini saya yakin seramai 1,500 lagi ahli di Rembau akan mengikut langkah sama dalam waktu terdekat.

"Gerakan ini dimulakan oleh saya. Kami kerja siang malam untuk menggerakkan parti ini, tapi apa yang mengecewakan bila sampai waktu melantik ketua bahagian dan jawatankuasa kami dipinggirkan," katanya pada sidang media diadakan di pejabat Bersatu Bahagian Rembau di sini.

Menurutnya, mereka juga kecewa kerana parti tersebut mengetepikan suara generasi muda dengan memilih pemimpin yang sudah lanjut usia terutama di Bahagian Rembau.

Malah Mohd Anas berkata, selepas parti itu ditubuhkan hanya di negeri ini sahaja tidak dilantik Pengerusi Perhubungan Negeri dan Ketua Bahagian sehingga kini.

"Macam mana nak gerakkan parti kalau macam ini sedangkan pilihan raya akan diadakan tidak lama lagi dan mereka yang dilantik pula langsung tak buat kerja," katanya.

Oleh sebab itu beliau akan mengadakan siri jelajah di Negeri Sembilan dan seluruh negara bagi mengajak ahli Bersatu meninggalkan parti berkenaan.

Bagaimanapun beliau masih belum membuat sebarang keputusan untuk menyertai mana-mana parti buat masa ini.

Bersatu yang diasaskan oleh beberapa bekas pemimpin Umno termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin ditubuhkan secara rasmi pada September tahun lalu.




0 comments:

share2