Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, March 1, 2017

WARGA EMAS TERPEDAYA CINTA SIBER


Warga emas terpedaya cinta siber


Kuala Pilah - Bermula dengan cinta siber, seorang bekas tentera kerugian sebanyak RM3,000 apabila didakwa diperdaya oleh seorang wanita warga Indonesia.

Perkenalan awalnya di laman sosial Facebook pada Februari lalu, telah menemukannya dengan seorang wanita dikenali sebagai Suryani, 37, yang dipercayai bekerja di bahagian pembersihan sebuah bangunan di Kelana Jaya.

Mangsa berusia 80 dikenali sebagai Ishak, ketika ditemui berkata, setelah menjalin hubungan cinta dengan wanita itu, dia berhasrat untuk menjadikan Suryani sebagai suri hidupnya.

“Saya mula mengenali Suryani di Facebook pada 6 Februari lalu. Bila rasa serasi, kami buat keputusan untuk bertemu kali pertama pada 7 Februari di Kelana Jaya.

“Setelah bertemu, ternyata ada rasa cinta dan suka kepada Suryani. Sejak itulah, kami selalu mesej menerusi aplikasi WhatsApp dan berjumpa beberapa kali.

“Dek kerana ada rasa sayang, Suryani bersetuju untuk berkahwin dengan saya setelah selesai proses perceraiannya di Indonesia.

“Suryani pun ada menceritakan masalah peribadinya, perihal suaminya yang dikatakan sedang meringkuk di penjara di Medan Sumatera akibat penyalahgunaan dadah.

“Bagaimanapun, kesahihan cerita itu, saya tidak pasti. Dan saya juga menolak permintaannya untuk memasukkan sejumlah RM1,500 ke akaun peribadinya, kerana mahu pulang ke Indonesia bagi uruskan soal perceraiannya,” katanya yang baharu kehilangan isteri setelah meninggal dunia, tiga bulan lalu di Juasseh.

Namun, kata Ishak, pada 15 Februari, Suryani meminta wang sekali lagi dan merayu wang itu diberikan kepada agennya untuk membawanya pulang ke Indonesia.

“Atas rasa percaya dan cinta mendalam, saya menyerahkan wang tunai sebanyak RM2,700 di parkir sebuah pasar raya di Kelana Jaya, bersaksikan pemandu saya.

“Dan pada 23 Februari lalu, saya telah bertemu dengan Suryani sekali lagi di Kelana Jaya.

“Dia ada meminta wang berjumlah RM300 untuk wang perbelanjaan dan kerana kasihan, saya terus memberinya tanpa rasa sangsi,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kuala Pilah, semalam.

Menurutnya, setelah Suryani menerima wang tersebut, dia mula berdolak dalih dan mengelak untuk bertemu serta gagal dihubungi.

“Bagaimanapun, sebelum Suryani menyekat nombor telefon bimbit saya, dia ada menghantar mesej dengan memberitahu dia bukanlah wanita terbaik untuk saya.

“Saya terus memarahinya kerana saya telah sayangkan Suryani. Selepas kejadian itu dia gagal dihubungi, berkemungkinan telah pulang ke Indonesia,” katanya.

Dalam pada itu, dia membuat laporan polis untuk memberi peringatan kepada orang ramai supaya berwaspada.

“Orang ramai perlu lebih berhati-hati, jika berjumpa dengannya atau berhubung menerusi Facebook kerana dia banyak tipu helah.

“Saya terpanggil untuk menyiarkan kisah ini untuk elak pisang berbuah dua kali.

“Jika ditanya kepada saya tentang kes ini, saya tidak berasa malu dan mahu ia disiarkan dalam media kerana saya berada di pihak benar,” katanya yang juga membuat laporan polis di Kelana Jaya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Haslah Bachok mengesahkan menerima laporan polis tersebut.

Sumber

0 comments:

share2