Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, March 6, 2017

USAH BERLEMBUT DENGAN PEROKOK


Perokok


Sebarang rayuan oleh perokok kepada pihak kerajaan untuk mempertimbangkan semula larangan merokok di taman awam tidak perlu dilayan. Bukan sahaja tidak perlu dilayan, malah pihak kerajaan juga harus mempergiatkan lagi segala usaha untuk membasmi budaya merokok dalam kalangan masyarakat di negara ini. 

Seperti sedia maklum, bermula 1 Jun 2017, tindakan undang–undang akan dikenakan terhadap mana-mana perokok yang didapati merokok di taman–taman awam dalam negara selaras dengan pewartaan taman–taman awam sebagai kawasan larangan merokok di bawah peraturan 11(w) dan 11(x) Peraturan–Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan Peraturan 2017). 

Selepas tarikh penguatkuasaan peraturan baru berkenaan, kompaun sehingga RM5,000 boleh dikenakan dan penalti RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun juga boleh diberi jika disabit bersalah. Dianggarkan terdapat 1,280 taman awam di seluruh negara dan penguatkuasaannya dikatakan akan diperluas secara berperingkat dari masa ke masa. 

Dalam usaha membanteras budaya merokok, kerajaan juga perlu memantau segala aktiviti yang berkaitan dengan rokok seperti penggunaan shisha, rokok elektronik atau vape dan sebagainya dalam kalangan masyarakat.

Selain aspek pengukuhan undang–undang dan demi menjaga tahap kesihatan rakyat untuk jangka panjang, adalah penting supaya sebarang bahan atau barangan yang boleh mengundang ketagihan serta membawa kepada masalah berpanjangan kesihatan kepada rakyat diberi peningkatan cukai yang berterusan bagi memberi tekanan dari sudut psikologi serta beban kewangan terhadap mereka yang ketagih dengan penggunaan bahan atau barangan yang berbahaya terhadap kesihatan berkenaan. 

Antara barangan yang boleh difikirkan oleh kerajaan sempena pengumuman Bajet 2018 yang akan dibentangkan kelak ialah barangan berasaskan tembakau, terutama yang digunakan untuk membuat rokok.

Umum mengetahui bahaya akibat ketagihan rokok bukan sahaja kepada si perokok, tetapi orang sekeliling yang terpaksa menghidu asap rokok. Pelbagai usaha telah dilakukan oleh kerajaan terutama melalui Kementerian Kesihatan dalam memberi pendedahan serta kesedaran mengenai bahaya merokok melalui iklan–iklan dan penguatkuasaan undang–undang. 

Pihak kerajaan juga melakukan aspek penambahbaikan perundangan sedia ada bagi membendung budaya merokok dalam kalangan rakyat seperti penambahan bilangan zon larangan merokok seperti yang telah termaktub dalam Peraturan–Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 di bawah Akta Makanan 1983 (Akta 324). Walaupun pelbagai usaha telah dilakukan bagi membendung isu ketagihan merokok ini, namun masih terdapat pihak yang memandang ringan isu ini. 

Lebih malang lagi, aktiviti merokok ini turut menular dalam kalangan remaja yang masih bersekolah. Golongan ini sudah berani merokok di tempat–tempat awam tanpa segan seperti di pusat beli–belah, hentian bas, kedai–kedai makan, sekolah dan taman–taman rekreasi. Walaupun sudah wujud undang–undang bagi membendung penjualan rokok bagi golongan bawah umur di negara ini, namun perkara ini dilihat belum terkawal. 

Oleh yang demikian, sudah sampai masanya langkah lain diambil oleh pihak kerajaan bagi membendung isu penjualan dan ketagihan rokok ini. Menaikkan cukai bagi barangan yang berasaskan tembakau sedikit sebanyak dapat membendung. Jika cukai terhadap rokok dinaikkan, sudah pasti harga rokok akan dinaikkan. Perokok tentunya berfikir banyak kali sebelum mereka membeli. 

Cadangan kenaikan cukai terhadap rokok ini bukanlah baru, namun melalui penguatkuasaan kaedah percukaian, selain peruntukan undang–undang sedia ada dikira dapat membantu.


0 comments:

share2