Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, March 18, 2017

[TEMERLOH] STOR DVD HARAM DISERBU


Stor DVD haram diserbu


Tiga lelaki ditahan petang kelmarin kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penjualan DVD haram dan lucah terbesar yang dipercayai untuk pasaran sekitar Mentakab dan Temerloh.

Susulan penahanan suspek berusia dalam lingkungan 16 hingga 27 tahun itu, polis berjaya menemui dan merampas sejumlah 681 keping DVD yang dianggarkan bernilai RM12,500.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, pihaknya melakukan risikan selama seminggu dan berjaya mengenal pasti sebuah premis tiga tingkat yang digunakan sebagai stor simpanan di Mentakab sebelum membuat serbuan.

Menurutnya, daripada jumlah DVD dirampas, 637 disyaki tiada sijil B, 45 keping DVD lucah dan 133 keping kulit DVD pelbagai tajuk juga disyaki tiada perakuan B.

“Selain itu, polis turut merampas sebuah televisyen, pemain DVD, pencetak dan peralatan mencetak DVD yang mampu menyalin 11 keping DVD serentak.

“Pemeriksaan yang dilakukan ke atas premis terbabit mendapati ia diubah suai dengan menempatkan bilik khas penyimpanan DVD serta lubang tikus yang dipercayai menjadi laluan selamat untuk mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini semalam.

Mohd Wazir berkata, suspek dipercayai menjalankan kegiatan itu sejak setahun lalu dan sasaran penjualan mereka sekitar Mentakab dan Temerloh.

“Hasil daripada risikan mendapati DVD filem tempatan atau antarabangsa itu dijual dengan harga serendah RM5 hingga RM10 kepada semua pembeli.

“Manakala modus operandi mereka bagi DVD lucah pula, ia hanya dijual kepada pembeli-pembeli tertentu secara sembunyi dengan kadar harga berbeza mengikut judul,” katanya.

Mohd Wazir berkata, kesemua suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini (semalam) untuk siasatan lanjut.


0 comments:

share2