Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, March 30, 2017

[TEMERLOH] PENCURI UMPIL TINGKAP MASJID


Pencuri umpil tingkap masjid


Empat tabung beroda milik masjid baharu daerah Temerloh hilang dilarikan pencuri dalam kejadian dua hari berturut-turut iaitu Sabtu dan Ahad lalu.

Imam 1 Masjid Baru Daerah Temerloh Badrulhisham Mohamad Zaki berkata, kesemua empat tabung beroda yang disimpan di dalam ruang pejabat masjid besar itu dilarikan pencuri yang memecah masuk melalui tingkap belakang pejabat.

Menurutnya, pencuri dipercayai melarikan kira-kira RM500 wang tabung masjid itu berdasarkan jumlah kutipan biasa dipungut setiap minggu daripada kesemua tabung yang hilang itu.

“Kejadian mula disedari pada Sabtu lalu apabila bilal masjid yang sampai di masjid ini pada kira-kira jam 4 petang mula perasan dua daripada empat tabung yang disimpan di dalam ruang pejabat sudah tiada.

“Bilal ini tidak mengesyaki apa-apa dan dia fikir saya yang simpan dua tabung bergerak itu, esoknya seorang lagi imam bertugas perasan dua lagi tabung yang disimpan di tempat yang sama juga sudah hilang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di masjid itu, di sini.

Badrulhisham berkata, dia yang menerima maklumat kejadian pada mulanya musykil kerana tiada kesan umpil pada tiga pintu utama masjid itu.

Katanya, bagaimanapun selepas membuat pemeriksaan, baru semua pegawai mula menyedari terdapat kesan umpil pada tingkap di ruang pejabat masjid yang digunakan penjenayah untuk memecah masuk dan melarikan empat tabung beroda terbabit.

“Pencuri ini memecah masuk ke dalam pejabat masjid pada Sabtu dan Ahad antara jam 3 hingga 4 petang. Saya sudah buat laporan polis kejadian ini,” katanya.

Badrulhisham berkata, sebelum ini, beberapa minggu lalu satu tabung bergerak yang ditempatkan di ruang solat wanita di masjid itu hilang dilarikan pencuri.

Jelasnya, tiga kejadian pecah masuk dan curi tabung masjid itu dikhuatiri akan berulang, usaha pihak masjid ialah meminta pengawal keselamatan meningkatkan kawalan.

Badrulhisham berkata, tabung utama masjid yang ditempatkan di ruang solat selamat buat masa ini tetapi bagi memastikan ia tidak menjadi mangsa pihaknya akan memasang kamera litar tertutup (CCTV) di dalam masjid bagi memastikan kejadian itu tidak berulang.


0 comments:

share2