Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, March 30, 2017

[JERANTUT] AGIH ANAK POKOK MUSANG KING


Agih anak pokok Musang King


Sebagai usaha meningkatkan produktiviti durian Musang King di daerah ini, 500 anak pokok durian itu diagihkan kepada penduduk Kampung Simpang Tebing Tinggi, Ahad lalu.

Kesemua anak pokok itu diagihkan secara sama rata kepada 250 penduduk untuk di tanam di kawasan rumah mereka atau kawasan lapang milik penduduk.

Sumbangan itu disampaikan oleh Ahli Parlimen, Datuk Ahmad Nazlan Idris, justeru berharap ia dapat memanfaatkan penduduk Kampung Simpang Tebing Tinggi.

Beliau menerusi ucapannya berkata, durian jenis Musang King masih lagi berkurangan di daerah ini. Justeru, pihaknya mengambil inisiatif menyumbang anak pokok durian itu kepada penduduk kampung ini.

“Kebiasaannya durian Musang King ini kita biasa lihat banyak dijual di Raub dan Bentong dan ia dimonopoli pula oleh bukan Melayu. Jadi, saya fikir kenapa kita tidak tanam sendiri pokok durian Musang King ini di sini dan disebabkan itu, saya mahu sumbangkan anak pokok ini kepada penduduk kampung,” katanya.

Menurutnya, ia juga sebagai salah satu usaha untuk menambah pendapatan penduduk setempat sekali gus meningkatkan ekonomi daerah ini.

“Daerah ini merupakan sebuah daerah pertanian. Berbanding memberi sumbangan dalam bentuk wang, lebih baik kita beri sumbangan sebegini yang akan memberi keuntungan berterusan kepada penduduk sekiranya dimanfaatkan sebaik mungkin,” katanya.

Menurutnya, beliau sebelum ini juga pernah menyumbang pokok buah limau nipis, pokok bunga kantan dan belimbing buluh untuk dimajukan penduduk kampung dian daerah ini.

Beliau juga dikatakan sebelum ini pernah menyumbangkan anak pokok petai kepada penduduk Kampung Simpang Tebing Tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Simpang Tebing Tinggi, Mohd Arif Yusof berkata, pihaknya mewakili penerima merakamkan setinggi penghargaan atas sumbangan yang disampaikan itu.

Justeru, beliau mengingatkan kepada penduduk setempat agar tidak mensia-siakan pemberian terbabit dan memanfaatkannya sebaik mungkin.

“Selepas ini saya harap setiap penerima yang masing-masing dapat dua anak pokok ini menanam dan menjaga dengan baik pokok itu nanti. Dalam jangkaan empat atau lima tahun nanti dapatlah kita merasa hasil durian Musang King ini dan janganlah kita lupa pada jasa pihak yang menyumbang,” katanya.


0 comments:

share2