Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, March 30, 2017

SEORANG MAUT, BAYI DUA BULAN ANTARA YANG CEDERA


Kemalangan


Slim River – Seorang maut manakala tiga cedera ringan termasuk seorang bayi dalam kejadian melibatkan lima kenderaan di Kilometer 390.3 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah selatan menghala ke Kuala Lumpur, pagi tadi.

Mangsa yang meninggal dunia adalah Marwan Malik Hajamubarakali, 29, pemandu Proton Saga yang turut dinaiki masing-masing seorang lelaki, wanita dan bayi berusia dua bulan.

Semua penumpang Proton Saga itu mengalami cedera ringan manakala bayi berkenaan lebam di bahagian muka serta tangan dihantar ke Hospital Slim River untuk menerima rawatan.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Ahmad Mat Isa berkata, dalam kejadian jam 5.30 pagi itu, kemalangan berpunca selepas kenderaan itu terbabas dan terlanggar pembahagi jalan.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan Malik Marwan yang berasal dari Pulau Pinang itu terpelanting keluar dari Proton Saga dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Kemudian sebuah lori jenis Hino yang datang dari arah belakang cuba mengelak kenderaan itu, bagaimanapun hilang kawalan lalu terbalik di lorong kanan.

“Melihat keadaan tersebut, sebuah lagi lori jenis Daihatsu cuba mengelak ke kiri tetapi dilanggar Perodua Axia dari arah belakang dengan menghasilkan dentuman kuat hingga menyebabkan tayar gantian lori itu terjatuh di jalan raya,”katanya.

Tambahnya lagi, pada masa sama, Toyota Corolla yang melalui jalan itu tidak sempat mengelak dan terlanggar tayar tersebut hingga terbabas dan melanggar pembahagi jalan.

“Daripada siasatan awal, jalan kering dan cuaca baik. Kenderaan yang terlibat akan dihantar ke Puspakom Gopeng untuk tujuan pemeriksaan manakala spesimen darah diambil darah dan akan dihantar ke Jabatan Kimia Ipoh untuk dianalisis.

"Kes masih disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan sehingga kini tiada tangkapan dibuat,”katanya.


0 comments:

share2