Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, March 30, 2017

[KUANTAN] TIADA VIRUS H5N1 DIKESAN DI PAHANG


Tiada virus H5N1 dikesan di Pahang


Tiada virus H5N1 dikesan di negeri selepas 859 sampel di 93 premis diambil dan diuji di makmal dalam tempoh dua minggu iaitu bermula 16 Mac sehingga semalam.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif berkata, berdasarkan kajian yang dijalankan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pahang (DVS) Pahang tiada kes H5N1 dikenal pasti.

Bagaimanapun, pemantauan di kawasan sempadan terus dijalankan terutama membabitkan sempena Gua Musang-Merapoh yang menjadi laluan 38,000 kenderaan.

“DVS mengambil sampel di premis terbabit secara rawak dan dihantar ke makmal untuk ujian. Ujian pertama mendapati ia adalah negatif.

“Pengambilan sampel ini akan diteruskan dari semasa ke semasa sebagai langkah berwaspada terhadap gejala virus H5N1," katanya kepada media selepas Merasmikan Program Sesi Promosi dan Penerangan Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) peringkat negeri Pahang, hari ini.

Hadir sama, Pengarah DVS Pahang, Datuk Dr Norlizan Mohd Noor.

Shafik Fauzan berkata, selain pemantauan di kawasan sempadan, pihak bertanggungjawab juga membuka bilik gerakan di lokasi berisiko.

“Kita mengambil langkah proaktif dalam membendung virus H5N1 daripada merebak di negeri ini,” katanya.

Dalam pada itu, Shafik Fauzan berkata, Akta Kebajikan Haiwan yang diluluskan kerajaan Persekutuan itu merupakan satu langkah ke arah memastikan lima keperluan haiwan dipenuhi antaranya keperluan persekitaran yang sesuai, diet yang sesuai dan keperluan dilindungi daripada kesakitan, penderitaan, kecederaan dan penyakit.

Tambah beliau, apabila akta itu dikuatkuasakan pertengahan tahun ini, aktiviti melibatkan haiwan wajib berlesen.

“Kita harap ia dapat mendidik masyarakat supaya lebih prihatin dan bersifat ihsan terhadap haiwan,”katanya.

Sementara itu, Dr Norlizan berkata, sesi penerangan itu adalah kali pertama di adakan di negeri ini dan akan diikuti sesi penerangan kedua melibatkan doktor haiwan, pengusaha kedai haiwan kesayangan dan pemilik tempat penginapan haiwan.


0 comments:

share2