Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, March 30, 2017

SETENGAH JAM PAUT BESI TINGKAP


banjir



Alor Setar - “Empat anak saya termasuk bongsu berusia 4 tahun terpaksa berpaut selama setengah jam pada besi tingkap bila paras air naik hingga ke dada sebelum bantuan bomba sampai,” kata Norlela Nozari, 31, ketika menceritakan detik cemas banjir di rumahnya, kelmarin.

Norlela yang juga pengawal keselamatan di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Cawangan Taboh Naning berkata, dia sedang bersiap-siap untuk ke tempat kerja mendapati hujan lebat tidak berhenti sebelum air masuk ke dalam rumah.

“Masa tu, saya dengan empat anak terus kemas dan pindahkan barang yang rendah ke tempat selamat sebab suami yang juga pengawal keselamatan di tempat yang sama sedang bekerja.

“Air naik terlalu cepat dan deras, dari paras pinggang hingga ke paras dada, saya risau tengok keadaan anak yang terkejut dan ketakutan.

“Disebabkan belum ada bantuan yang sampai masa itu, saya minta anak-anak berusia 13, 10, 7 dan 4 tahun pegang besi tingkap dengan kuat supaya tak dihanyutkan arus deras,” katanya yang kemudian dibawa berpindah ke pusat pemindahan kira-kira jam 9 malam.

Seorang lagi mangsa banjir, Maimunah Ahnad, 69, berkata, dia bersama dua cucunya Nurin Aina Yusrizal Riadi, 12, dan Muhaimin Yusrizal Riadi, 9, nyaris dihanyutkan arus deras semasa menyeberangi air untuk ke jambatan yang terletak kira-kira 50 meter dari rumah cucunya.

Menurutnya, dia sempat berpaut dan memegang kuat tangan cucu perempuannya, manakala cucu lelakinya sempat didukung menantu lelaki ke jambatan berkenaan.

“Mak cik istighfar banyak-banyak minta pertolongan ALLAH, dan ALLAH sahaja yang tahu perasaan kami ketika itu.

“Sebelum itu, mak cik ada pegang besi tapi besi tu dihanyutkan arus, inilah banjir yang paling teruk berlaku berbanding tahun sebelum ini,” katanya ketika ditemui di Pusat pemindahan Bencana Balai Raya Taboh Naning.

Sementara itu, Ahli Parlimen Masjdi Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, lebih 200 penduduk membabitkan 48 keluarga dalam Dun Taboh Naning terjejas.

Menurutnya, jumlah itu termasuk lima keluarga yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Balai Raya Taboh Naning melibatkan lebih 20 orang termasuk kanak-kanak dan warga emas namun pusat tersebut ditutup jam 12 tengah hari semalam.

“Banjir kali ini turut melibatkan 18 keluarga di Kampung Cherana Puteh, sembilan keluarga Kampung Simpang Ampat selebihnya Kampung Taboh Naning serta Kampung Kemus.

“Peruntukan sebanyak RM 10,000 digunakan sebagai bantuan awal kepada mangsa-mangsa banjir termasuk kit makanan,” katanya.

Beliau berkata, kebanyakan rumah penduduk yang terjejas terletak di kawasan rendah dan berhampiran sungai.

Jelasnya, beliau akan menyarankan Japerun Dun Taboh Naning berbincang dengan Pejabat Daerah Alor Gajah bagi menyelesaikan masalah itu.

“Sebelum ini, telah dilaksanakan kerja-kerja mendalam dan membersih sungai tapi hujan lebat berpanjangan menyebabkan sungai tak mampu tampung jumlah air yang banyak dalam satu masa.

“Saya berharap penduduk yang terlibat tabah dengan dugaan ini. Pelbagai pihak termasuk sukarelawan IPT akan membantu bagi kerja pasca banjir,” katanya.


0 comments:

share2