Sulawesi Barat - Kehilangan seorang petani di sini menemui titik noktah apabila jasadnya dijumpai di dalam seekor ular sawa.
Memetik laporan BBC Indonesia, petani yang dikenali sebagai Akbar, 25, hilang sejak Ahad lalu di kawasan pekerjaannya ladang kelapa sawit di Kampung Salubiro, Karossa, Mamuju Tengah, Sulawesi Barat.
Penduduk kampung yang menyedari kehilangannya telah membuat laporan polis selepas tempoh 24 jam.
Hasil carian antara polis dan penduduk kampung, mereka menjumpai seekor ular sawa yang masih hidup di kawasan kelapa sawit namun tidak boleh bergerak.
Ular sawa sepanjang tujuh meter itu kelihatan lain dengan keadaan fizikalnya seperti menelan sesuatu yang besar.
Polis kemudian, bertindak membelah badan ular sawa berkenaan.
Selepas dibelah badan ular sawa berkenaan, polis mengesahkan, mayat yang dijumpai pada seekor ular sawa tersebut adalah petani yang hilang.
Namun, persoalannya, benarkan ular sawa boleh makan manusia?
Menurut pakar ular atau herpetologis dari Universiti Brawijaya, Nia Kurniawan, manusia bukanlah mangsa utama, namun ular sawa memilih mangsa yang sesuai untuk keperluan kalorinya.
"Kebiasaannya, ular sawa lebih memangsa babi hutan atau anjing hutan, iaitu lebih mudah ditemui daripada manusia.
“Jika ada manusia yang menjadi mangsanya, mungkin secara kebetulan dan saiz manusia itu kecil,” katanya.
Jelasnya, dengan apa yang berlaku kepada petani tersebut merupakan satu dalam berjuta dan juga saiz ular tersebut yang panjang dan lebar.
Dalam pada itu, kawasan ladang kelapa sawit tempat penemuan ular sawa itu sememangnya habitat bagi ular sawa.
“Tetapi, inilah kes pertama mengenai ular sawa memakan manusia. Mungin aneh kerana tidak pernah berlaku perkara seumpama ini, tetapi ia menjadi peringatan kepada penduduk sekitar agar lebih berhati-hati,” katanya.
0 comments:
Post a Comment