Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, March 16, 2017

[ROMPIN] SAKIT BUKAN PENGHALANG UNTUK BERJAYA


 Sakit bukan penghalang untuk berjaya


Biar pun mengidap penyakit Systemic Lupus Erythematosus (SLE), ia tidak menghalang seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rompin Permai, di sini, mendapat semua A dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2016 yang diumumkan, hari ini.

Disifatkan ibarat berlian dalam lumpur, beliau turut diumumkan sebagai pelajar cemerlang bagi daerah Rompin selepas satu-satunya pelajar sekolah menengah harian yang mendapat keputusan cemerlang itu.

Fatin Nabila Zahib, 18, berkata, keputusan cemerlang itu adalah di luar jangkaannya kerana menyifatkan soalan peperiksaan yang didudukinya pada tahun lalu itu adalah susah.

Mengakui terkejut ketika diumumkan mendapat keputusan semua A, beliau berasa gembira dan lega kerana usaha kerasnya selama ini berbaloi.

"Rahsia kejayaan saya ini adalah memberi fokus ketika sesi pembelajaran di sekolah, apabila ada soalan atau perkara yang tidak difahami, saya terus tanya dengan cikgu.

"Terima kasih juga kepada cikgu yang banyak memberi tunjuk ajar dan memberi latihan seperti menjawab soalan percubaan dari semua negeri kerana ia amat berguna, hasilnya saya berjaya, kawan-kawan lain pun tiada kurangnya," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Ditanya mengenai penyakit SLE yang dihidapinya, beliau mengatakan ia tidak memberi kesan kepada pembelajarannya walaupun sangat terhad untuk terlibat dengan aktiviti luar kerana kesan penyakit itu menyebabkan beliau tidak boleh terdedah dengan cuaca panas.

"Jika ikutkan memang sayang sebab tak boleh sertai aktiviti outdoor atau sukan, sekolah pun nak kena terlibat dengan aktiviti begini, jadi saya cuma terlibat dengan aktiviti indoor sahaja," katanya yang bercita-cita untuk memasuki universiti awam dan menjadi doktor gigi.

Sementara itu, ibunya, Rusnawati Nahtiman, 46, yang turut hadir sama sewaktu keputusan diumumkan memanjatkan syukur kepada Ilahi atas kejayaan anaknya itu yang telah banyak berusaha.

Berkongsi kisah penyakit yang dihidapi anaknya itu, Fatin Nabila dikesan mengidap SLE pada usia 9 tahun selepas pengsan sebelum dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

"Hingga kini dia masih diberikan rawatan dan perlu makan ubat. Setiap tiga bulan sekali saya perlu bawa dia jumpa doktor pakar di Hospital Selayang," katanya.


0 comments:

share2