Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, March 27, 2017

[PEKAN] TENANG SELEPAS LAFAZ SYAHADAH


Tenang selepas lafaz syahadah


Perasaannya benar-benar lega dan dapat merasai ketenangan sebaik sahaja dia mengucapkan kalimah syahadah.

Lebih menggembirakan, Sarina Bah Chatu, 16, turut mendirikan rumah tangga dengan pasangannya, Hairul Abdullah Hasim, 27, pada hari sama.

Sarina berkata, dia bersyukur dan gembira kerana hasratnya untuk memeluk Islam terlaksana.

“Saya harap suami dapat bimbing saya jadi Muslimah sejati serta taat kepada ajaran Islam dengan melakukan semua suruhan agama.

“Saya kenal suami lapan bulan lalu sebelum buat keputusan memeluk Islam dan berkahwin dengannya,” katanya.

Dia ditemui selepas melafazkan syahadah pada Program Ziarah Dakwah anjuran Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) cawangan Pekan dengan kerjasama Pejabat Agama Islam Pekan.

Majlis itu dirasmikan oleh Setiausaha Muip, Datuk Ahmad Hairi Hussaindi di surau Kampung Orang Asli Menchupu, di sini kelmarin.

Hadir sama, Pegawai Hal Ehwal Islam Muip cawangan Pekan, Muhammad Hafidz Abdul Halim.

Sarina berkata, dia bersyukur apabila hasratnya untuk mendirikan rumah tangga direstu kedua-dua keluarga.

Anak kelima daripada lapan beradik itu berkata, dia tertarik dengan Islam sejak beberapa tahun lalu.

Sementara itu, Suzana Osman, 25, dari Kampung Batu Gong, Chini, di sini berkata, dia memilih untuk memeluk Islam selepas tertarik melihat kebaikan rakan-rakan beragama Islam.

Malah dia berkata, perkenalannya dengan suami, Suhaimi Abd Rahman, 26, menambahkan lagi keinginan untuk memeluk Islam.

“Saya berharap rumah tangga yang dibina akan kekal bahagia dan dirahmati ALLAH,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Hafidz berkata, dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini, pihaknya berjaya mengislamkan 24 Orang Asli di daerah ini dalam program ziarah dakwah yang dianjurkan.

Katanya, untuk memastikan saudara baharu dalam kalangan Orang Asli mendapat bimbingan secara berterusan, aktiviti dakwah dan pendidikan agama akan terus diadakan di kawasan penempatan oleh penggerak masyarakat yang dilantik.

Program Program Ziarah Dakwah yang berlangsung selama dua hari itu membabitkan aktiviti mengislamkan 18 Orang Asli, majlis perkahwinan 19 pasangan, ziarah dakwah ke rumah penduduk setempat, persembahan kebudayaan Islam dan sukaneka.


0 comments:

share2