Kuala Lumpur – PAS melahirkan rasa kesal kerana pemimpin DAP semakin berani campur tangan dan mempertikai setiap perkara melibatkan agama Islam di negara ini.
Ketua Penerangan Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata, DAP juga dilihat semakin ketara menonjolkan permusuhannya ke atas agama Islam sejak kebelakangan ini.
“DAP mempertikai setiap perkara dan urusan yang ada hubung kait dengan agama Islam termasuk segala imej dan simbolnya.
“Sekali gus, DAP telah menyerlahkan lagi doktrin politik cauvinis atau perkauman yang didokong mereka,” tegasnya dalam satu kenyataan media hari ini.
Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen sebelum ini dilapor mendakwa seramai 433 guru agama Islam dibawa masuk ke Sarawak bakal menjadi permulaan kepada ketaksuban agama.
Chieng Jen mendakwa kononnya guru Islam dari Semenanjung Malaysia akan membawa versi ajaran Islam mereka dan mengindoktrinasi kanak-kanak di Sarawak dan menyebabkan pengasingan kaum.
Segelintir pihak berpandangan DAP semakin lantang mempertikaikan urusan agama Islam sejak Pakatan Harapan menandatangani perjanjian kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang diketuai Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Mahathir menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan yang diketuai DAP bagi melunaskan dendamnya dengan UMNO kerana beberapa kepentingan peribadinya tidak dipenuhi kerajaan Persekutuan.
Pakatan Harapan dianggotai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (PAN).
Mahathir pula memimpin parti baru Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bersama anaknya, Datuk Seri Mukhriz dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ahmad Fadhli dalam pada itu menegaskan, isu penempatan guru Pendidikan Islam dari Semenanjung Malaysia ke Sarawak sekadar alasan lunak DAP untuk menjustifikasikan motif terselindung parti itu terhadap agama Islam.
Menurut beliau, proses pengajaran dan pembelajaran termasuk silibus diguna pakai adalah seragam di seluruh negara selain para guru turut tertakluk atas tatasusila yang khas.
“Jika terjadi prejudis dan unsur-unsur sebagaimana didakwa, sila kemukakan bukti. DAP semakin melalut, menyimpang dan karut apabila turut mengheret sensitiviti berkaitan kalimah Allah, pemakaian salib, berus cat bulu babi dan mazhab yang tidak seharusnya diperbesarkan lagi dan dicetus adu domba baru,” katanya.
0 comments:
Post a Comment