Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, March 22, 2017

MELECUR MUKA, SEPARUH BADAN KENA RENJATAN ELEKTRIK


Melecur muka, separuh badan kena renjatan elektrik


Klang - Seorang pelajar tahun empat melecur pada bahagian muka dan hampir separuh badan selepas terkena renjatan elektrik ketika menyeberang landasan keretapi berdekatan stesen komuter Jalan Kastam, Pelabuhan Klang, malam kelmarin.

Bagaimanapun dalam kejadian sekitar jam 9 malam itu, dua rakan mangsa bernasib baik apabila mereka terselamat dalam kejadian itu.

Nenek mangsa, Norliza Zainul Abidin, 49, berkata, cucunya, Muhd Aliff Ashrul yang juga murid Sekolah Kebangsaan Methodist menyeberang landasan itu bersama dua rakan untuk pulang ke rumah mereka di Kampung Sungai Sireh Tambahan 2, di sini.

“Ketika menyeberang landasan, Aliff berada di belakang dua rakannya. Rakannya menyedari insiden itu selepas Alif tercampak beberapa meter dari landasan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Menurutnya, mereka segera mendapatkan Aliff dan terkejut melihat hampir keseluruhan mukanya bertukar kehitaman akibat terbakar kesan renjatan itu.

“Mereka kemudiannya minta bantuan penduduk terdekat sebelum memaklumkan kepada salah seorang anak saya yang segera membawanya ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).

“Bagaimanapun dia kemudiannya dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut dan kini berada dalam bilik bedah untuk kerja-kerja rawatan,” katanya.

Katanya, sejak kejadian itu, keadaan mangsa agak lemah kerana menahan kesakitan dan dia dalam keadaan separa sedar.

“Saya amat sedih melihat keadaan cucu sulung saya ini. Setakat ini, doktor belum memberi sebarang penjelasan berkenaan keadaannya. Saya tetap bersyukur kerana dia terselamat dalam kejadian ngeri itu,” katanya.

Katanya, laporan polis akan dibuat dalam masa terdekat.

Sesiapa yang ingin menghulurkan sumbangan kepada mangsa boleh memasukkan ke Bank Islam (12010024897205) atas nama ibunya, Nor Asyikin Umar.


0 comments:

share2