Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, March 3, 2017

[MARAN] TAWARAN BUAT WANITA, IBU TUNGGAL


Tawaran buat wanita, ibu tunggal


Pejabat Parlimen Maran dan Umno bahagian itu menawarkan peluang perniagaan kepada wanita serta ibu tunggal di daerah ini untuk menyediakan kira-kira 3,000 balang kuih raya.

Ahli Parlimennya, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib berkata, mereka yang berminat boleh mengemukakan permohonan dengan disertakan harga yang berpatutan.

“Jika ramai yang membuat tawaran itu, kita akan agihkan sama rata kepada mereka yang layak supaya sama-sama dapat keuntungan.

“Jika boleh biarlah kuih tu tahan lama tiga atau empat bulan, mahal sikit pun tak apa asalkan berkualiti,” katanya.

Menurutnya, pada setiap hari raya, Pejabat Parlimen Maran memerlukan kira-kira 5,000 balang kuih raya pelbagai jenis untuk disumbangkan kepada orang ramai.

“Tahun ini peluang itu mahu diutamakan kepada wanita, terutama ibu tunggal untuk menyediakannya supaya secara langsung dapat membantu mereka berniaga.

“Saya boleh berikan peluang ini kepada syarikat pembuat kuih besar untuk menyediakannya, tetapi kali ini kita berikan kepada wanita dan ibu tunggal tempatan.

“Kalau baik, enak, berkualiti serta tahan lama, tiap-tiap tahun kita minta wanita buat projek kuih dan lain-lain termasuk jamuan hari raya,” katanya.

Ismail berkata, banyak program terutamanya membabitkan jamuan anjuran Pejabat Ahli Parlimen Maran dan Umno diserahkan kepada pengusaha katering tempatan dan berharap lebih ramai wanita serta ibu tunggal dapat menyertai bidang tersebut untuk menambah pendapatan.

Ismail memberi jaminan akan terus memberikan sokongan serta bantuan kepada mana mana pertubuhan wanita, ibu tunggal yang hendak menjalankan projek ekonomi dan sebagainya bagi menambah pendapatan.

Sehubungan itu beliau menggesa ibu tunggal berdaftar dengan Pertubuhan Ibu Tunggal bagi memudahkan kerajaan menyalurkan bantuan.


0 comments:

share2