Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Sunday, March 26, 2017

[KUANTAN] TUNKU AZIZAH BUAT DEMONSTRASI MASAKAN


Tunku Azizah buat demonstrasi masakan


Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli melakukan demonstrasi masakan di Dataran Teluk Chempedak di sini, hari ini.

Kehadiran baginda kira-kira jam 12 tengah hari sempena program Air Tangan Tengku Puan Pahang diiringi Yang Dipertua Dun, Datuk Seri Ishak Mohamad dan Exco Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Shahaniza Shamsuddin.

Pada program itu, Tunku Azizah yang dibantu selebriti cef, Nik Michael Imran turut berkongsi resipi turun temurun dalam memasak lima jenis menu iaitu tiga resipi masakan patin tempoyak mengikut daerah, lempeng pisang dan cekodok durian.

Tunku Azizah bertitah, tempoyak daripada durian Musang King yang sememangnya terkenal dengan kesedapannya menjadi pilihannya setiap kali memasak patin tempoyak.

“Selain Musang King, durian hijau dari Beserah juga antara durian terbaik,” titah baginda.

Tunku Azizah memulakan sesi memasak dengan resipi patin tempoyak dari Hulu Tembeling iaitu di Kampung Bantal dan Kampung Mat Daling, Jerantut.

Titah baginda, terdapat perbezaan dalam memasak patin tempoyak antara daerah selain menggunakan daun kesing.

“Sebab itu, terdapat resipi berbeza antara Jerantut dan Lipis. Bagaimana pun, rasanya tidak jauh beza,” katanya sempena program Moh Ke Kuantan, Air Tangan Tengku Puan Pahang anjuran Dewan Muda, Dewan Perniagaan Melayu Pahang (DPMM) dengan kerjasama Tourism Pahang.

Baginda mengambil masa dua jam memasak kelima-lima menu istimewa berasaskan durian dengan disaksikan pengunjung yang hadir.

Sementara itu, Pengerusi Dewan Muda DPMM Pahang, Mohd Hairi Azwan Mohammad Idris berkata, program itu diadakan sejak Khamis lalu dan berakhir dengan acara demonstrasi daripada Tunku Azizah.


0 comments:

share2