Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, March 29, 2017

[KUANTAN] MAHU BUAT FAEDAH PERKESO SEBAGAI MODAL PERNIAGAAN


Sofiyan (empat,kiri) bersama empat penerima cek faedah lain dalam majlis penyerahan yang disampaikan


'Saya berhasrat untuk menjadikan ia sebagai modal perniagaan bagi membantu keluarga selain selebihnya sebagai simpanan masa depan,” demikian kata operator kilang, Muhammad Sofiyan Zulaimi, 21 yang menerima faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Sofiyan menerima faedah hilang upaya kekal sebanyak RM28,668.74 dan pencen bulanan, RM383.40 selepas terbabit dalam kemalangan pada 1 Ramadan tahun lalu.

Dalam kejadian awal pagi, Sofiyan mengalami kemalangan ketika memandu kereta milik syarikatnya menyebabkan dia mengalami kecederaan di bahagian muka dan mata selepas kenderaan yang dipandu hilang kawalan apabila cuba mengelak haiwan melintas.

Kemalangan itu menyebabkan mata kirinya rosak dan kabur dan kini dia masih mendapatkan rawatan susulan setiap bulan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.

Anak ke-2 yang juga memiliki kembar lelaki daripada empat beradik itu ditemui selepas majlis penyerahan cek faedah Perkeso di Wisma Perkeso Pahang di sini hari ini yang disampaikan Pengarah Perkeso Negeri, Abu Hurairah Ahmad.

Menurutnya,ia dapat mengurangkan beban kedua ibu bapanya yang bekerja di kedai makan dan gembira kerana telah menerima bantuan tersebut.

"Memang lega kerana sekurang-kurangnya ia dapat membantu meringankan beban keluarga saya," katanya yang menetap di Sungai Karang di sini.

Dia antara lima penerima lain membabitkan jumlah keseluruhan sebanyak RM229,483.88.

Empat penerima lain adalah Tengku Nazmi Engku Najib, 36 yang menerima bayaran faedah hilang upaya kekal sebanyak RM20,193.30, Mohd Abdullah Mohd Meng, 31 (RM16,177.08 iaitu faedah hilang upaya kekal dan pencen bulanan RM259.56), Ng Woei Hao, 27 (RM112,521.56) dan Khoo Guat Tin, 54 (RM51,923.20).

Sementara itu, Abu Hurairah berkata, pihaknya meminta mereka yang bekerja memastikan majikan membuat caruman bagi memastikan kebajikan sekiranya terbabit dalam kemalangan.

Menurutnya, ini kerana bagi pencarum atau waris yang mengalami kemalangan, mereka boleh membuat aduan kepada Perkeso jika berasa mereka layak.

"Hasil maklumat yang diberikan, Perkeso akan menjalankan siasatan dan berdasarkan kelayakan itu, pencarum atau waris akan mendapat faedah jika mematuhi segala kriteria ditetapkan.

"Sebaiknya dalam tempoh 48 jam selepas berlaku kemalangan, majikan memaklumkan kepada Perkeso bagi memudahkan urusan," katanya.


0 comments:

share2