Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, March 2, 2017

[KUANTAN] BELAJAR BUAT SENJATA GUNA YOUTUBE


Belajar buat senjata guna YouTube


Penemuan bengkel di belakang sebuah rumah akhirnya membongkar kegiatan pembuatan senapang buatan sendiri yang dilakukan seorang lelaki di Chendor di sini, 20 Februari lalu.

Rahsia lelaki berusia 42 tahun itu terbongkar selepas dia ditahan polis kerana kesalahan mengugut isteri bagi mendapatkan wang dipercayai untuk membeli dadah.

Susulan laporan polis dibuat isterinya berusia 52 tahun yang juga peniaga kedai makan itu, polis ke rumah tersebut untuk menahan suspek sebelum menemui sebuah bengkel mencurigakan di belakangnya.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Abdul Aziz Salleh berkata, hasil pemeriksaan, pihaknya menemui tujuh senapang buatan sendiri yang siap untuk dijual kepada pembeli dipercayai bagi tujuan memburu ayam hutan dan babi.

“Hasil siasatan, lelaki itu mengaku membuat senapang itu sejak dua tahun lalu dengan mempelajari teknik pembuatannya melalui YouTube.

“Senapang tersebut dipercayai dijual pada harga RM100 setiap satu kepada pembeli yang berminat,” katanya pada sidang media di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Deputi Superintendan Zaizul Rizal Zakaria.

Abdul Aziz berkata, suspek yang ditahan didapati memiliki satu rekod jenayah lampau atas kesalahan dadah dan hasil ujian air kencing didapati dia positif amphetamine.

Katanya, semua senapang terbabit dirampas untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api.

Sementara itu, dalam kes berasingan, polis menahan tiga lelaki kerana disyaki terlibat dalam 11 kes pecah rumah di sekitar bandar ini.

Menurut Abdul Aziz, suspek berusia 22 dan 32 tahun itu ditahan pada 22 Januari lalu ketika berada dalam sebuah kereta di Bukit Sekilau di sini, kira-kira jam 7 petang, 22 Januari lalu.

Katanya, susulan penahanan dua suspek itu, polis berjaya menahan seorang lagi rakan mereka berusia 24 tahun di sebuah rumah di Bukit Bayroute di sini, kira-kira jam 8 malam, hari yang sama.

“Hasil pemeriksaan kita menjumpai 10 batang joran pelbagai jenama yang dipercayai dicuri dari kedai menjual peralatan memancing di Bukit Bayroute pada 13 Januari lalu.

“Salah seorang suspek itu turut dikehendaki dan memiliki sembilan rekod lampau melibatkan lima kes jenayah dan selebihnya dadah,” katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan juga mendapati kesemua 11 kes terbabit positif dengan ujian cap jari suspek terlibat.

“Kes itu disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.

“Semua suspek sudah dihadapkan ke mahkamah pada 13 Februari lalu dan kini dalam proses perbicaraan manakala lelaki berusia 24 tahun menjadi saksi pendakwaan,” katanya.


0 comments:

share2