Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, March 21, 2017

JABATAN HIDUPAN LIAR DIMINTA TANGANI SERANGAN BUAYA


Bung Moktar Radin


Kinabatangan - Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin mahu Jabatan Hidupan Liar Sabah mengambil langkah drastik bagi mengelak serangan buaya di Sungai Kinabatangan.

Beliau berkata, serangan buaya kini dalam situasi membimbangkan kepada penduduk yang tinggal di tebing sungai dan nelayan tempatan berikutan berlaku insiden penduduk menjadi korban dibaham buaya di sungai itu.

Bung Moktar dalam satu kenyataan hari ini turut mencadangkan agar jabatan itu mencontohi tindakan berkuasa negeri Sarawak yang membenarkan memburu buaya dalam mengawal populasi reptilia berkenaan.

"Sekiranya tiada sebarang kawalan dilakukan, pasti akan lebih mengancam penduduk dan serangan maut akan kerap berulang," katanya.

Di Sabah, buaya dilindungi di bawah Jadual 1, Bahagian 1 (Seksyen 25 (1)) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.

Dalam kejadian 12 tengah hari semalam, seorang bapa bersama anak lelakinya maut dipercayai dibaham buaya di Sungai Kinabatangan berhampiran Supu. 

Mayat lelaki berusia 50-an itu ditemukan dengan hanya bahagian kepala sehingga dada serta sebelah tangan, manakala mayat anak lelakinya berusia 13 tahun ditemukan dengan kesan luka.

Dua beranak itu yang tinggal di Perkampungan Bersatu Sri Tanjung (PPMS) Bukit Garam tidak pulang ke rumah selepas keluar menangkap ikan di sungai berkenaaan pada Sabtu lepas.


0 comments:

share2