Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, March 4, 2017

DAKWA MALAYSIA 'NEGARA GAGAL' MENGARUT!


Dakwa Malaysia 'negara gagal' mengarut!


Sandakan - Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan dakwaan pihak pembangkang kononnya Malaysia adalah sebuah negara gagal atau 'a failed state' sebagai mengarut.

Perdana menteri berkata, sekiranya Malaysia ini sebuah negara yang gagal, mana mungkin mendapat perhatian pemimpin dunia termasuk Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud yang memilih Malaysia sebagai destinasi pertama lawatannya ke Asia.

"Kalau Malaysia negara gagal, tuan ingat Baginda Raja Salman nak datang ke Malaysia ini? Datang dengan kapal terbang besar ke Malaysia? Rombongan besar dan membuat perjanjian dengan Petronas untuk melabur RM31 bilion projek Rapid (Penapisan Minyak dan Petrokimia)?.

"Tuan-tuan ingat baginda nak buang masa dengan Malaysia, dengan perdana menteri Malaysia, dengan kerajaan Malaysia?" tanya beliau.

Bagaimana boleh Malaysia dikatakan negara gagal kalau ia menjadi pilihan negara yang dilawati, kata Najib pada majlis perasmian Program Perumahan Rakyat (PPR) Batu Sapi, di sini hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan dua timbalannya Tan Seri Joseph Pairin Kitingan dan Datuk Seri Raymond Tan Shu Kiah dan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Noh Omar. 

Menurut Najib, sekiranya Malaysia sebuah negara gagal, bagaimana sebuah syarikat pengeluar minyak Arab Saudi, Saudi Aramco yang mengeluarkan 14 juta tong minyak sehari mahu menandatangani perjanjian dengan Petronas sebagai rakan kongsi projek Pembangunan Bersepadu Penapisan dan Petrokimia Petronas (Rapid) di Pengerang, Johor.

Sekiranya Malaysia sebuah negara gagal, bagaimana Bloomberg boleh mengumumkan baru-baru ini bahawa Malaysia dalam Indeks Ekonomi Inovasi Dunia meningkat kepada 23 daripada 25, tegas beliau.

Malah kata Najib, sekiranya Malaysia ini sebuah negara gagal, mana mungkin kerajaan Malaysia yang diterajui Barisan Nasional boleh melaksanakan projek-projek asas untuk kepentingan rakyat seperti projek PPR (perumahan rakyat) di Batu Sapi serta banyak projek mega lain di Sabah.

Perdana menteri berkata selain projek PPR di Batu Sapi, banyak lagi projek yang sedang dan akan dilaksanakan di seluruh Sabah demi kesejahteraan rakyat termasuk projek Lebuhraya Pan Borneo.

Najib berkata sememangnya kerajaan di bawah pimpinannya memberi perhatian kepada pembangunan di Sabah untuk memastikan negeri berkenaan maju setaraf dengan kemajuan yang dialami negeri-negeri lain di Semenanjung.

"Sabah ini saya lihat negeri berpotensi besar. Saya mahu negeri Di Bawah Bayu ini lebih tinggi lagi kedudukannya, kejayaannya dan pembangunannya. Rakyat lebih makmur lagi pada masa akan datang. Tapi kita perlukan masa. Ia tidak boleh berlaku sekelip mata," katanya.

Sebab itu, perdana menteri mengingatkan rakyat Sabah agar tidak mudah termakan dengan hasutan pembangkang yang hanya mempunyai dua tujuan iatu untuk menghasut dan mengelirukan rakyat yang akhirnya akan merugikan rakyat sendiri.

Pada majlis berkenaan, Najib turut mengumumkan bahawa PPR Taman Batu Sapi adalah di bawah Skim Perumahan 'sewa beli' - penghuni rumah berkenaan akan membayar sewa tertentu setiap bulan dan akhirnya memiliki rumah itu.

Najib turut mengumumkan kesediaan kerajaan untuk mengkaji kos yang diperlukan bagi projek bekalan air bersih kepada penduduk yang tinggal di pulau-pulau berhampiran Sandakan untuk dipertimbangkan bagi dilaksanakan.


0 comments:

share2