Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, February 27, 2017

[RAUB] USAHA MURNI DIDIK MASYARAKAT MAHIR BACA AL-QURAN


Usaha murni didik masyarakat mahir baca al-Quran


Tidak dilengkapi peralatan canggih mahupun kerusi dan meja, ia bukan penghalang kepada 30 pelajar meneruskan pengajian memahirkan bacaan al-Quran di Masjid Sayyidina Umar Al-Khattab, Kampung Batu Malim di sini.

Di sebalik kawasan perkampungan di kelilingi ladang kelapa sawit, kelas pengajian al-Quran yang dijalankan tanpa bangunan persendirian itu tetap meriah dengan kehadiran pelajar yang tekun belajar dengan hanya duduk di lantai di ruang depan masjd berkenaan.

Ketua Unit Pembangunan Keluarga dan Dakwah Pejabat Agama Islam Daerah Raub, Amirul Farhan Wahi berkata, kelas pengajian itu berlangsung pada setiap ahad selepas solat Maghrib.

"Setiap pengajian tidak diadakan dalam keadaan formal, sebaliknya lebih terbuka supaya ia tidak memberi tekanan kepada penduduk.

"Selain perkara asas tajwid dalam pembacaan al-Quran, penduduk yang telah lama mempelajari pembacaan al-Quran akan bantu pelajar baru atau penduduk yang lebih muda bagi melahirkan qari dan qariah daripada pelbagai lapisan umur.

“Sebagai umat Islam, kita hendaklah membaca dan memahami al-Quran, serta menjadikannya panduan dan sumber rujukan dalam kehidupan seharian dalam menangani pelbagai masalah dan cabaran yang dihadapi,” katanya.

Amirul Farhan berharap kelas mengaji ini dapat membentuk ikatan hati untuk memartabatkan al-Quran dan masyarakat di daerah ini membaca al-Quran walau di mana sahaja dengan penuh penghayatan.


0 comments:

share2