Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Monday, February 27, 2017

RAHSIA JENGGO SUNGAI ROMPIN


Rahsia jenggo sungai Rompin


Pelepasan benih udang galah ke sungai Rompin adalah usaha memastikan bekalan hidupan sungai yang juga dikenali sebagai ‘jenggo’ oleh pemancing itu sentiasa ada.

Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Hasan Arifin berkata, udang galah sinonim dengan daerah ini dan keenakannya tiada tandingan jika dibandingkan dengan udang import.

Menurutnya, ada rahsia di sebalik keenakannya itu dan tidak ramai yang mengetahuinya, justeru sungai Rompin perlu dijaga yang menjadi tanggungjawab semua pihak mengelakkan ia daripada tercemar.

“Ramai tak tahu tentang ni, rahsia kenapa udang galah sungai Rompin lebih sedap berbanding sungai lain yang ada di sini, hinggakan orang luar sanggup datang di sini. Ini kerana dasar sungai Rompin tak berselut, udang galah ni tak makan lumpur.

“Jadi habitat udang galah dan ikan sungai lain ini perlu kita pelihara daripada pencemaran atau kegiatan menangkap ikan yang tidak mengikut undang-undang. Ketua kampung atau penduduk setempat boleh lapor kepada pihak berkuasa jika nampak atau ada maklumat,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan program Pelepasan Benih Udang Galah Ke Perairan Umum Bersama Komuniti Kampung Gading, di sini yang turut dihadiri Pengarah Perikanan Pahang, Datuk Adnan Hussain.

Pada majlis berkenaan, seramai 11 nelayan darat di kampung itu turut menerima lesen yang membolehkan mereka selepas ini menjalankan aktiviti mencari hasil sungai Rompin dengan sah.

Hasan berkata, beliau juga telah berbincang dengan Jabatan Perikanan Malaysia untuk mewujudkan pusat pembenihan atau hatcheri bagi memudahkan usaha pembiakan dan kajian mengenai benih dilakukan.

Sementara itu, Adnan berkata, sebanyak 120,000 benih udang galah dilepaskan semalam yang merupakan peringkat pertama dan akan diikuti beberapa peringkat lagi dengan menyasarkan sekurang-kurangnya 500,000 benih pada tahun ini.

“Program ini bertujuan meningkatkan lagi populasi udang galah di sungai ini yang sedia maklum Rompin dikenali sebagai Bandar Udang Galah. Ini sebahagian usaha jabatan perikanan kerana spesies ini dilaporkan semakin berkurangan,” katanya.


0 comments:

share2