Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Friday, February 17, 2017

[KUANTAN] CULIK 'DATUK': DUA LELAKI DIDAKWA


Culik 'Datuk': Dua lelaki didakwa


Dua lelaki didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan menculik seorang pengarah urusan bergelar Datuk bagi menuntut wang tebusan berjumlah RM19 juta pada 26 Disember 2015.

Lim Sun Chye, 45, dari Kemaman, Terengganu dan Ang Boon Leong, 40, dari Kepong, Kuala Lumpur dituduh melakukan kesalahan di tempat meletak kereta Hotel Seri Manja Boutique, Indera Mahkota kira-kira jam 5.55 petang, pada hari kejadian.

Mereka didakwa bersama dua lelaki lain dan tiga lagi yang masih bebas atas kesalahan menahan Datuk Chin Yoke Choon, 53, dengan melarikan serta mengurung Datuk tersebut secara salah.

Tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Noor Zaihan Mohamad Ali.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh digantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan.

Kes disebut semula pada 28 Februari ini bagi menunggu laporan kimia dan akan didakwa bersama dua lelaki lain yang terdahulu dihadapkan ke mahkamah sama pada 30 Disember 2016 atas kesalahan sama.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen 1, Sun Chye didakwa atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang iaitu Geng William pada Julai 2015 sehingga Februari lalu.

Dia mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan atas pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Unaizah Mohd mengikut Seksyen 130 V (1) Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara antara lima hingga 20 tahun.

Manakala Boon Leong yang dihadapkan di Mahkamah Sesyen 4 atas pertuduhan sama, mengaku bersalah di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Siti Aminah menetapkan 28 Februari ini bagi menunggu laporan DNA dan kimia sebelum kes itu dibawa ke Mahkamah Tinggi.

Kedua tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin kerana penahanan tertuduh dibuat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Pendakwaan kes dikendalikan Shahrul Ekhsan Hassim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


0 comments:

share2