Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Tuesday, February 14, 2017

[KUANTAN] BERUANG LAPAR CEROBOH KONDOMINIUM


Beruang lapar ceroboh kondominium


Kehadiran seekor beruang matahari yang memasuki kawasan Kuantan Tembeling Condominium meresahkan pengurusan dan pengunjung apabila haiwan pemangsa itu dijumpai berkeliaran di blok penginapan hotel sejak sebulan lalu.

Kejadi terbaharu, kira-kira jam 3 pagi semalam yang disedari pengawal keselamatan selepas terdengar bunyi tong sampah tumbang berdekatan pondok kawalan.

Pegawai bangunan, Helmy Suffian Othman berkata, beruang terbabit dipercayai kelaparan dan memanjat pagar memasuki kawasan hotel untuk menyelongkar tong sampah.

Menurutnya, pengawal keselamatan yang terkejut dengan kehadiran beruang itu, bertindak menghalau dengan membaling kayu cota sebelum haiwan tersebut kembali memasuki kawasan hutan.

"Kondominium terletak bersebelahan hutan simpan dan kami sedari kehadiran beruang matahari setinggi lelaki dewasa ini sejak sebulan lepas.

"Pagi tadi adalah kejadian keempat dan terdahulu, beruang yang dipercayai lapar ini dijumpai berkeliaran di blok bangunan penginapan lebih kurang jam 9 malam.

"Enam anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) datang membantu tetapi kami hanya terdaya menghalau sebelum beruang ini hilang ke kawasan hutan,"katanya.

Helmy berkata, kamera litar tertutup (CCTV) berjaya merakam kehadiran haiwan pemangsa itu pada 27 Januari lalu yang memasuki blok pejabat pentadbiran, kira-kira jam 8.30 malam.

Menurutnya, pihak Perhilitan meletakkan sebuah perangkap di blok C selama dua minggu namun tidak membuahkan hasil.

"Perangkap itu kemudian dialihkan ke tepi pondok pengawal pagi tadi dan sebuah perangkap lagi milik Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), turut diletakkan di tempat sama hari ini.

"Kehadiran beruang ini menjejaskan kedatangan pelancong apabila ada kes pengunjung yang ternampak beruang melintas sebaik buka pintu bilik.

"Setakat ini tiada lagi kes kecederaan membabitkan pelancong tetapi kami amat bimbang berlaku kejadian tidak diingini kerana haiwan ini bertindak agresif ketika cuba dihalau,"katanya.


0 comments:

share2