Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, February 4, 2017

KERANA COCONUT SHAKE SAYA KAHWIN LELAKI KOREA


Kerana coconut shake saya kahwin lelaki Korea


Tidak pernah terlintas untuknya bercinta malah membina mahligai perkahwinan bersama jejaka dari negara lain. Namun hanya disebabkan penangan air ‘coconut shake yang di jual Nor Izwani Ab Aziz, 26, di tepi jalan, ia menjadi detik perkenalan dengan lelaki Korea

Lebih menarik pertemuan dengan suaminya tiga tahun lalu bukannya berlaku di negara sonata musim salju, sebaliknya di Taman Tuanku Jaafar (TTJ), Senawang di sini.

Iras wajah ala-ala gadis Korea dan tutur kata yang sopan milik si empunya badan berjaya menambat hati Mohammad Kim Seung Ho, 37, yang singgah ke gerai Nor Izwani.

Hasil penyatuan dua hati ini, ia akhirnya menjadi permulaan buat Nor Izwani menceburi perniagaan makanan korea secara atas talian yang kini mula mendapat sambutan ramai.

Antara makanan korea yang dijual ialah Kimci, Kimbap, Tteokbooki, Yangnyeom Chicken yang kesemuanya disediakan dari air tangan suaminya sendiri.




Lebih banyak komunikasi guna bahasa isyarat

Menceritakan detik awal perkenalan mereka, Nor Izwani berkata, ketika itu suaminya berada di daerah ini atas urusan perniagaan di sebuah kilang berhampiran.

“Saya pula ketika itu jual air ‘coconut shake’ di tepi jalan berhampiran Masjid TTJ dan suatu hari saya terkejut didatangi suami bersama rakan-rakannya.

“Pada masa itu dia (suami) memang tak pandai langsung cakap Melayu, tapi saya mula perasan boleh dikatakan setiap hari dia akan datang ke gerai saya untuk membeli air.

“Saya nampak yang dia mahu berkawan. Walaupun tak pandai cakap Melayu dan kurang fasih berbahasa Inggeris, dia cuba berkomunikasi dengan saya dan kami banyak gunakan bahasa isyarat,”katanya.

Namun paling tidak disangka Nor Izwani apabila Mohammad Kim Seung datang melamarnya ketika kunjungan pertama kali ke rumah pada Aidilfitri tahun sama perkenalan mereka.

Pada mulanya lamaran itu ditolak dengan cara baik, namun melihat kebaikan dan keikhlasan suami yang ketika itu telah pun memeluk agama Islam, dia akhirnya bersetuju dan mereka mendirikan rumah tangga setahun kemudian.

“Saya akui agak sukar untuk kami berkomunikasi, tapi itu tak jadi halangan. Selalunya jika dia cakap korea dan saya tak faham, saya akan guna google translate.

“Terus terang cakap, saya tak pernah fikir nak kahwin dengan orang Korea dan selepas perkahwinan kami, buat pertama kalinya saya jejakkan kaki ke negara itu,”katanya.



Bagaimana bisnes bermula

Selepas mendirikan rumah tangga, Nor Izwani yang merupakan anak ke-2 dari lima adik beradik tidak lagi menjual air ‘coconut shake’ namun ia diteruskan oleh adiknya.

Manakala Nor Izwani pula bersama suami memberi fokus menjual makanan korea selepas mendapat banyak tempahan daripada rakan sekelas adiknya.

“Adik saya bawa makanan korea ke kelas sebab kawan-kawan nak rasa dan sejak itu ramai yang nak buat tempahan.

“Bulan April tahun lepas kami terfikir untuk buat bisnes makanan korea ini secara lebih serius dan hanya dengan menguar-uarkan di laman sosial, ia mula menjadi viral sehingga dapat sambutan ramai,”katanya.

Disebabkan suaminya mempunyai pekerjaan lain, tempahan hanya dibuka pada hari Jumaat dan ditutup pada hari Sabtu, manakala proses penghantaran akan dilakukan pada hari Ahad setiap minggu.

Antara yang mendapat paling banyak tempahan ialah Kimbap, Tteokbooki, Yangnyeom Chicken yang dijual diantara harga RM7 sehingga RM12.

Manakala khidmat pos laju disediakan untuk tempahan Kimci yang dijual RM25 bagi 500 gram dan RM45 bagi satu kilogram.

Malah menjadi hasrat pasangan ini untuk membuka restoren makanan korea suatu hari nanti, lebih-lebih lagi agak sukar untuk mencari makanan korea yang halal di negara ini.


0 comments:

share2