Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, February 25, 2017

[JERANTUT FERI] PENDUDUK KAMPUNG PAYA GAROK HIDUP DALAM KETAKUTAN


Penduduk Kampung Paya Garok hidup dalam ketakutan



Lima sekeluarga di Kampung Paya Garok, di sini kembali dihantui gangguan gajah liar yang sekali lagi menceroboh kawasan rumah mereka awal pagi, kelmarin.

Dalam insiden terbaru itu, tujuh ekor haiwan itu didapati berada di sekitar rumah mereka pada kira-kira jam 4 pagi.

Lokman Samsudin, 31, berkata, pada awalnya dia terdengar bunyi ranting dan pokok patah sekitar jam 12 tengah, malam tersebut.

Ketika itu dia dan sepupu yang juga jirannya bertindak menghalau kumpulan gajah liar itu menggunakan mercun.

“Masa itu gajah liar itu berada kira-kira 50 meter dari rumah saya. Dalam masa sama, jiran-jiran turut datang bantu baling mercun ke arah kumpulan gajah liar itu.

“Sekitar jam 2 pagi, kumpulan gajah liar itu kelihatan berlalu pergi dan saya mula lega kerana sangka ia sudah lari,” katanya.

Namun sangkaan Lokman meleset apabila kumpulan gajah liar itu kembali semula sekitar jam 4 pagi, malah lebih dekat dengan rumahnya berbanding sebelumnya.

“Saya terjaga dari tidur dan sekali lagi saya dengar bunyi kumpulan gajah liar itu berada betul-betul bersebelahan rumah saya.

“Kami sekeluarga rasa sangat takut dan hanya bertawakal kepada ALLAH SWT sahaja. Saya harap tidak ada perkara buruk berlaku,” katanya.

Menurutnya, sepupunya menyuluh lampu ke arah kumpulan gajah liar itu dan kelihatan beberapa ekor gajah dewasa dan anak gajah berada di sekitar rumahnya.

“Sekitar jam 5 pagi, kami lihat kumpulan gajah itu berlalu pergi melalui rumah sepupu yang terletak bersebelahan rumah saya.

“Sebaik kami pastikan semuanya sudah selamat, saya keluar meninjau keadaan dan saya lihat sebatang pokok betik bersebelahan rumah saya patah dan gajah itu turut merosakkan jaring dan bahagian belakang dapur rumah saya,” katanya.

Lokman berkata, dia lega kumpulan gajah liar terbabit tidak merosakkan dua kenderaan yang diletakkan di hadapan rumahnya.

Menurutnya, penduduk kampung sekali lagi berkumpul di kawasan rumahnya untuk menghalau kumpulan gajah liar itu namun sebaik mereka tiba, kumpulan haiwan itu sudah tiada.

Tinjauan Sinar Harian mendapati sebatang papan bahagian belakang dapur rumah Lokman patah selain turut kelihatan beberapa tompokan najis.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Jerantut Feri, Mohd Ramli Jaafar berkata, pihaknya menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi memaklumkan perkara itu dan dimaklumkan bahawa pihak itu akan menangkap kumpulan gajah liar terbabit.

Beliau berkata, dengan adanya longgokan najis yang ditinggalkan oleh kumpulan gajah liar itu, tidak mustahil haiwan terbabit akan kembali semula mengganggu kawasan penduduk di sini.

“Kita harap masalah gajah liar ini dapat diselesaikan segera sebelum keadaan lebih buruk berlaku ke atas penduduk kampung,” katanya.

Mengulas mengenai insiden itu, Pengarah Perhilitan Negeri, Ahmad Azhar Mohamed dalam kenyataannya berkata, empat anggota Perhilitan dari unit Maran dan Temerloh dan empat lagi anggota Unit Konversasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah Lanchang dihantar untuk menjejak dan mengesan kumpulan haiwan tersebut malam semalam sehingga ditemui dan akan menangkapnya untuk dipindahkan.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan membiarkan haiwan tersebut menceroboh lagi ke kawasan penempatan penduduk, sebaliknya akan berusaha menangkapnya.

“Kita akan menjejak dan memburu gajah itu sehingga berjaya menangkapnya.. kita akan memindahnya ke habitat lain bagi mengelakkan haiwan itu daripada berterusan memasuki ke kawasan penempatan penduduk.

“Sebelum ini pun anggota kita telah menjejak dan memburu haiwan itu, tetapi gagal. Kini muncul kembali dan mungkin datang untuk mencari makanan. Dipercayai kawasan habitatnya diceroboh atau dimajukan,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Unit Konversasi Gajah Kebangsaan, Nasharuddin Othman berkata, pihaknya akan menggunakan segala kepakaran bagi menjejak dan mengesan haiwan tersebut.

Beliau turut menasihatkan penduduk supaya tidak mengganggu haiwan itu dan menyerahkan kepada anggota Perhilitan untuk mengesan serta menangkapnya.


0 comments:

share2