Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, February 18, 2017

[JENGKA] HOTEL UNIK ALA MAGHRIBI


Hotel unik ala Maghribi


Orang ramai yang melalui Jalan Besar Felda Jengka 14 di sini, pasti terpegun melihat sebuah bangunan yang tersergam indah dengan seni bina bercirikan ala Maghribi.

Bagi mereka yang baru pertama kali melihatnya, pasti tidak menyangka bangunan itu sebenarnya sebuah hotel.

Berlatarbelakangkan ladang kelapa sawit seperti pokok palma, menambahkan lagi keunikan Hotel D' Kolam ini sehingga mereka yang menginap di situ rasakan seolah-olah berada di Maghribi.

Bangunan bercirikan seni bina Islam itu dihias indah dengan ukiran pelbagai motif pada hampir semua sudut di dindingnya, malah kubah kecil yang menghiasi sebahagian besar dinding menambahkan lagi keunikannya.

Pemiliknya, Mohd Rafi Ekramuddin, 44, berkata, idea membina hotel berkonsepkan seni bina timur tengah itu muncul secara tidak sengaja berdasarkan imaginasinya yang sukakan cerita dongeng.

“Sebenarnya ketika mula-mula mereka bentuk hotel ni, saya belum ada sebarang gambaran terhadap konsep seni binanya. Masa kecil-kecil dulu saya memang suka cerita dongeng jadi dah dewasa tambahan pula terlibat dalam perniagaan berkaitan produk simen, saya realisasikan impian untuk miliki bangunan yang unik macam ni.

“Ada ukiran, ada motif pada dinding dan tak sangka apabila dah jadi, ukirannya ada ciri-ciri Maghribi.

“Bukan saja pada hotel tapi pada dinding pejabat, lobi, malah rumah saya juga mempunyai reka bentuk binaan dengan ciri-ciri yang sama. Dah macam identiti saya pula,” katanya.

Dicadangkan buat kaki pancing

Orang ramai yang ingin merasai pengalaman menginap di hotel yang memiliki 35 bilik itu berpeluang menikmatinya dengan kadar bayaran serendah RM55 semalaman. Menariknya, setiap bilik mempunyai pendingin hawa dengan dekorasi ringkas yang mementingkan keselesaan.

Dari segi kemudahannya, hotel ini dilengkapi dengan televisyen dan suasana biliknya yang dihias rapi dengan sejadah serta bingkai gambar sebagai pelengkap keperluan dalaman.

Malah hotel ini juga menyediakan sebuah dewan serba guna yang mampu memuatkan 100 orang pada satu masa untuk sebarang majlis.

Ujar Mohd Rafi, hotel ini sesuai buat mereka yang berhajat untuk menenangkan fikiran dan lari dari kesibukan kota, malah ia dicadangkan kepada kaki pancing.

Katanya, berhadapan deretan bilik, sebuah kolam air tawar dibina yang dibuka sehingga jam 3 pagi untuk pengunjung yang berminat memancing.

Pengunjung, Ahmad Hassan, 67, dari Felda Jengka 20, di sini berkata, dia gemar suasana damai di hotel berkenaan, malah katanya harga masuk yang murah menjadi tarikan utamanya ke situ.

“Nak kata kerap tu tak juga tapi saya bolehlah dikatakan pelanggan tetap. Hampir setiap minggu saya datang sini untuk memancing. Sebabnya di sini tenang, aman serta selesa. Seronok dan dapat kepuasan apabila ikan sangkut di kail,” katanya.

Hotel D’Kolam sememangnya salah satu lokasi yang mesti dilawati dan didiami mereka yang berkunjung ke Bandar Jengka kerana ia adalah satu-satunya bangunan replika berkonsepkan sebegini, di daerah ini.


0 comments:

share2