Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Saturday, February 18, 2017

[ROMPIN] DIHANYUT OMBAK BERGELORA


Dihanyut ombak bergelora


Sebuah bot tunda yang menarik tongkang berisi arang batu dalam perjalanan ke Kuantan terkandas di pantai Chedoq, di sini sejak Selasa lalu berikutan cuaca buruk.

Bot tunda bersama 11 anak kapal dari Pelembang, Indonesia itu bertolak dari negara mereka 4 Februari lalu ketika cuaca dalam keadaan baik, bagaimanapun keadaan berlaku sebaliknya ketika melalui perairan barat Semenanjung Malaysia.

Kesemua anak kapal yang berusia dalam lingkungan 24 hingga 47 tahun itu berdepan detik cemas Ahad lalu apabila bot rosak dipukul ribut ketika melintasi kuala sungai Pahang, Pekan hingga terpaksa berundur mencari pulau untuk berlindung.

Perairan Pekan dan Rompin yang tidak mempunyai pulau menyebabkan Kapten Kapal Sutra Bhakti 11, Rizki Andi Putra, 28, mengambil keputusan untuk berlindung di Pulau Pemanggil, Johor, walaupun jaraknya agak jauh.

Bagaimana pun, Rizki berkata, keadaan angin yang kuat dan ombak bergelora menyukarkan perjalanan mereka untuk berundur ke pulau itu kerana bot sudah tidak mampu untuk menarik tongkang yang dihanyutkan arus.

“Ketika bot cuba tarik tongkang yang dihanyutkan, tali penarik bergeser dengan bot sampai hampir putus. Risau bot terbalik, saya terpaksa lepaskan tali tongkang dan cepat-cepat menuju tengah laut.

“Selama tiga hari di tengah laut perairan Rompin, saya cuba dapatkan bantuan tapi gagal. Enjin bot dah rosak dengan bekalan makanan habis, jadi kami nekad nak ke darat naik bot penyelamat,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurut Rizki, dalam keadaan cuaca agak buruk menerka mengambil keputusan meninggalkan Kapal Sutra Bhakti kira-kira jam jam 11 pagi Selasa lalu dengan menaiki bot penyelamat dan hanya hanyut mengikut ombak selama tiga jam.

Ketika menghampiri pantai Chedoq, mereka bertindak terjun dari bot itu dengan memakai jaket keselamatan sebelum hanyut dibawa ombak hingga ke pantai dan diselamatkan orang awam.

“Sebelum tinggalkan kapal, saya maklumkan ejen di Kuantan, jadi ketika kami hanyut di pantai Chedoq ada orang awam bersama dengan ejen berusaha cari kami dan kesemuanya selamat.

“Ini bukan kejadian pertama kami berhadapan ombak bergelora dan angin kuat, sebelum ini pernah berlaku di Filipina sebanyak dua kali tapi waktu tu enjin tak rosak, jadi masih boleh jalan mencari perlindungan,’ katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Sukarelawan Daerah, Zeffrul Datuk Indera Mustafar yang ditemui berkata, kesemua anak kapal warga Indonesia itu kini ditempatkan di Chedoq Beach Resort dengan pengawasan pihaknya.

Menurutnya, urusan dengan pihak Jabatan Imigresen Malaysia telah pun selesai bagi memberi kebenaran kepada mereka untuk mendarat namun hanya dalam kawasan yang terhad iaitu sekitar resort.

Beliau berkata, tongkang yang dilepaskan telah hanyut dan tersadai di kuala sungai Rompin manakala kapal mereka pula dihanyutkan ombak tersadai di pantai Chedoq berhampiran dengan resort.

“Saya difahamkan ketika diselamatkan mereka dalam keadaan lemah dan kelaparan, jadi orang awam yang terlibat menyelamatkan mereka telah memberi mereka makan terlebih dahulu sebelum dihantar ke Balai Polis Rompin untuk membuat laporan.

“Pihak Sukarelawan Daerah kini membantu mengawal selia atas arahan pihak berkuasa daerah bagi memastikan mereka dalam keadaan selamat, pemeriksaan kesihatan oleh Pejabat Kesihatan Daerah juga telah dilakukan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superitendan Azli Mohd Noor yang dihubungi mengesahkan laporan berkaitan kejadian itu.


0 comments:

share2