Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Thursday, February 23, 2017

IJN CATAT HAMPIR 97 PERATUS KEJAYAAN RAWAT PESAKIT


sakit jantung


Georgetown - Institut Jantung Negara (IJN) mencatatkan 95 hingga 97 peratus kejayaan dalam merawat pesakit jantung tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Dr Mohd Azhari Yakub berkata, peratusan kejayaan itu melibatkan rawatan kepada lebih 9,000 pesakit yang mengalami pelbagai jenis penyakit berkaitan jantung dan dirujuk ke IJN.

Bercakap kepada pemberita hari ini, beliau berkata ia merangkumi kejayaan rawatan kira-kira 4,000 pesakit menerusi pelbagai jenis pembedahan serta 5,000 rawatan kardiologi (tanpa pembedahan).

"Dengan pelbagai teknologi terkini dimiliki IJN, disokong kekuatan pasukan perubatan pakar, membantu kita untuk memastikan setiap pembedahan mahupun rawatan yang dilakukan itu berjaya.

"Bagi memastikan IJN berkeupayaan mengekalkan rekod cemerlang ini, kita akan mengaplikasikan penggunaan beberapa teknologi baharu pada tahun ini sekali gus membantu mengurangkan operasi pembedahan terutama melibatkan penukaran injap," katanya.

Dr Mohd Azhari ditemui selepas menghadiri Program Inisiatif Sosial Korporat IJN , 'My Heart My Life 2017', di Kampung Naran, Batu Maung di sini.

Program berkenaan juga menyaksikan Yayasan IJN, sebuah organisasi tidak berasaskan keuntungan, menerima sumbangan sebanyak RM10,000 daripada kerajaan Pulau Pinang dan RM50,000 daripada syarikat Federal Oat Mills Sdn Bhd.

Dr Mohd Azhari berkata, IJN akan meneruskan inisiatif mendekati masyarakat terutama di kawasan luar bandar bagi meningkatkan kesedaran orang awam terhadap kepentingan kekal aktif dan mengamalkan gaya hidup sihat yang amat penting dalam mengurangkan risiko mendapat penyakit jantung.

"Penyakit jantung merupakan punca utama kematian di negara ini sejak beberapa tahun lalu dan kita mahu mengubah trend ini seterusnya melahirkan masyarakat yang sihat dan cergas jasmani serta rohani," katanya.


0 comments:

share2