Rangkaian Media Sosial PahangKu

.

Wednesday, February 1, 2017

HARGAI JASA ANGGOTA KESELAMATAN


Najib Tun Razak


Kuala Lumpur - Datuk Seri Najib Tun Razak mengajak rakyat menghargai dan berterima kasih atas jasa dan pengorbanan anggota keselamatan dan perkhidmatan awam dalam memelihara ketenteraman negara setiap kali musim perayaan.

Perdana menteri dalam catatan terbarunya di laman blog www.najibrazak.com berkata rakyat tidak harus lupa kepada mereka yang tidak dapat bersama keluarga demi melaksanakan tugas sepanjang tempoh berkenaan.

"Anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menjaga trafik, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengawal sempadan dan kedaulatan negara malah membantu mangsa banjir, juga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang sentiasa bersedia menghadapi sebarang bencana bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara, doktor dan kakitangan hospital kerajaan serta ramai lagi.

"Selain itu, penghargaan juga harus diberi kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat Malaysia (SPAD) yang memantau dan mengawal selia perkhidmatan pengangkutan awam kita bagi mengelak tragedi kemalangan dan kehilangan nyawa," katanya.

Najib berkata operasi khas sebegini hendaklah diadakan dari semasa ke semasa dengan lebih kerap.

Najib turut memberi tumpuan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta agensi berkaitan yang masih menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa bot karam di Sabah.

"Saya doakan semoga misi pencarian akan berjaya, insya-Allah," katanya.

Dalam kejadian Sabtu lalu, sebuah bot jenis katamaran yang membawa 28 pelancong warga China dan tiga kru karam ketika dalam perjalanan ke Pulau Mengalum, kira-kira 58 kilometer di barat laut Kota Kinabalu, akibat dibadai angin kuat dan ombak besar.

Setakat ini, 22 mangsa merangkumi 20 pelancong China dan dua kru diselamatkan.

Tiga warga China terkorban dalam insiden itu dan enam masih hilang melibatkan lima warga China dan seorang kru.


0 comments:

share2